KUALA LUMPUR: Nama pelakon dan selebriti popular, Datin Paduka Eina Azman tular di media sosial apabila dia didakwa memotong giliran pengambilan vaksin di salah sebuah hospital di Ipoh hari ini.
Perkara itu tular apabila seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama akaun @wanieannas yang turut memuat naik gambar Eina dan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah walaupun sudah dipadam.
Dakwaan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan warganet yang mempertikai bagaimana Eina boleh mendapatkan vaksin di hospital walaupun orang ramai mengambilnya di stadium.
Malah, pengguna media sosial juga bertanyakan sama ada Eina dan suami melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri ke Perak.
Setakat ini, tiada jawapan balas daripada pihak Eina berhubung dakwaan tersebut dan pelakon itu sudah memadam gambar memeaparkan dia dan suami memegang kad bertulis “Saya telah divaksin”.