KUALA LUMPUR : Mengesahkan penyertaannya sebagai jemaah tabligh sejak lima tahun lalu, penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Nashrudin Elias, 61, atau Nash, bagaimanapun menganggap ia bukan satu kesalahan memandangkan tabligh bukan sebuah gerakan ajaran sesat.
Menurutnya, tidak wajar untuk sesetengah pihak atau masyarakat melihat jemaah tabligh umpama musuh kerana aktiviti dakwah dan perkongsian ilmu agama yang dilakukan menjurus kepada pengimarahan tentang sunnah Rasulullah SAW dan para sahabatnya.
“Saya tahu sesetengah masyarakat masih tabu. Dulu waktu muda, saya sendiri pun lari masuk dalam rumah bila tengok jemaah tabligh. Iyalah konon-konon nak dakwahkan kita.
“Sepatutnya, kita kena bersyukur bila didekati dengan mereka ini kerana sekurang-kurangnya dapat pendedahan tentang ilmu agama dan melihat keindahan Islam,”katanya.
Nash berkata demikian semasa ditemui dalam sidang media pelancaran single baharunya, Sesuci Ramadan yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, di ibu kota, semalam.
Pengakuan itu sekali gus melenyapkan tanda tanya orang ramai mengenai sekeping gambar yang tular dalam media sosial dan memaparkan Nash menyertai jemaah tabligh baru-baru ini.
Selain itu, menurut penyanyi ini, dia tidak pernah merasa satu keperluan untuk berkongsi gambar atau menguar-uarkan hal pembabitannya dengan jemaah tabligh sebelum ini kerana ia bukan untuk dipublisitikan.
“Takut timbul sifat ujub, riak atau rasa diri bagus, walhal saya pun jahat, masih seorang pencetus dosa yang sentiasa nak belajar dan baiki diri. Nanti orang kata baru nak ingat agama bila sudah berumur, nak mati.
“Padahal, kematian itu bila-bila masa saja dan sepanjang hidup kita kena belajar, cari ilmu. Lagipun, sejak zaman dengan kumpulan Lefthanded lagi saya dah bawa lagu-lagu bercorak ketuhanan dan ada unsur dakwah.
“Lagu Alam dan Pencipta, Seruan, Qabul, itu antara lagu-lagu Lefthanded yang bercorak ketuhanan,”katanya.
Dalam pada itu, melihat semakin ramai anak muda dan artis yang menunjukkan minat untuk mendalami agama kini, Nash melahirkan kata pujian dan menganggap ia satu perkembangan yang positif.