Berkesempatan menghadiri satu majlis berbuka puasa baru-baru ini di ibu kota, Cik Bunga tak sangka juga malam tersebut ada ‘rezeki’ terserempak dengan pasangan pengantin yang baru ini.
Walaupun dalam keramaian manusia pada malam itu dan masing-masing memakai pelitup muka sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jangan ingat Cik Bunga tak kenal raut wajah pasangan pelakon ini ya.
Iyalah, mana mungkin boleh lupa wajah-wajah orang yang buat ‘onar’. Tak gitu?
Sungguh, Cik Bunga suka bukan kepalang dalam hati bila dapat tahu kedua-dua mereka ini berkahwin tempoh hari. Tetapi daripada suka, jadi macam meluat pula bila tengok gelagat mereka di majlis tersebut.
Iya… tahu awak baru berkahwin. Tapi orang lain pun berkahwin juga. Taklah sampai hendak menunjuk sangat mahu jadi pasangan paling romantis dalam dunia ini sampaikan ambil makanan pun berpegangan tangan.
Memang 24 jam kena pegang tangan, berpelukan intim depan orang ramai ke awak? Cik Bunga boleh nampak muka mencuka orang ramai yang beratur menunggu giliran hendak ambil makanan bufet itu.
Patut boleh cepat-cepat ambil makanan, jadi lambat pula disebabkan ada pasangan dua sejoli tersebut yang tidak segan-segan mempamerkan gelagat romantis mereka berdua.
Ini bulan Ramadan. Orang hendak berbuka puasa. Nak peluk dan bermesra-mesraan sangat pun, boleh tunggu balik rumah tak? Makan cepat-cepat dan balik.
Ini tidak, hendak juga sajikan pandangan tak comel di depan orang ramai.
Bila Cik Bunga kata begini, nanti ada pula yang kata kita cemburu dengan pasangan itu walhal, peduli pula Cik Bunga dengan istilah ‘couple goals’ mereka itu.
Macam yang Cik Bunga cakap, orang lain pun ada suami, ada isteri. Tengok situasilah hendak bermesra-mesraan pun.
Dah tu, nak kata pandangan orang yang jahat? Ada penyakit hati? Tengok balik diri, cara kita itu betulkah?