KUALA LUMPUR : Pelakon Nadia Brian, 31, mengesahkan dia dan suami Muizz Nasruddin sudah pun bercerai dengan talak satu, kelmarin.
Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi ketika dihubungi berkata, dia berada dalam keadaan yang baik sahaja pada waktu ini.
“Muizz sudah lafazkan cerai kelmarin tepat pukul 8.20 malam.
“Penceraian kami dilafazkan di luar mahkamah seperti yang diminta bekas suami.
“Semua sudah selesai, Alhamdulillah saya okey,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Menurut pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda lagi, selepas ini dia akan memberi fokus penuh pada kerjaya seni dan keluarga terutamanya terhadap ibu dan nenek.
“Sekarang nak lebih fokus pada kerjaya dan keluarga. Saya nak jaga ibu dan nenek.
“Nenek ada lagi jadi kena berbakti lebih pada orang tua,” katanya.
Sebelum ini, menerusi laporan media termasuk desas desus yang bertebaran dalam Internet, Nadia didakwa telah mengesahkan suaminya, Muizz sudah memfailkan perceraian di mahkamah.
Isu pergolakan rumah tangga Nadia dan bekas suaminya itu menjadi bahan bualan ramai sejak Oktober lalu.
Ia berikutan Muizz tampil dengan pendedahan bahawa Nadia semasa menjadi isterinya, didakwa berlaku curang terhadapnya.
Nadia dan Muizz diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 9 November 2019.