PETALING JAYA: Kolaborasi sulung penyanyi Akim Ahmad dan kumpulan Search bakal memanaskan pentas Waronk Avenue, Melaka menerusi konsert Rockology Malaysian Tour 2021 yang berlangsung pada 10 April ini.
Persembahan itu hanya menampilkan pemain gitar Search, Din dan Kid serta pemain dram, Pae dan Galang (bass) dalam satu persembahan istimewa bersama Akim Ahmad memandangkan pengunduran Amy sebagai vokalis kumpulan itu.
Menurut kenyataan itu, biarpun tanpa kehadiran Amy yang dianggap antara tunjang utama kumpulan itu, namun nama dan legasi Search tidak akan mati.
Pemain gitar Search, Din berkata, pilihan pertamanya adalah Akim kerana penyanyi itu mempunyai karisma tersendiri selain kredibiliti yang dimilikinya boleh mencipta lagu dan mempunyai pakej dalam dirinya.
“Kami terlebih dahulu buat perbincangan dengan pasukan produksi. Ada beberapa nama yang disenarai pendek. Selepas penilaian, suara ramai memilih Akim. Ini bukan penilaian saya seorang.
“Jadi, persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim ini diadakan bagi mengubat rindu peminat. Persembahan ini sangat penting, kerana ia permulaan buat Search kembali. Harapan saya peminat boleh terima kami walaupun tanpa Abang Amy dan Nasir,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Akim Ahmad, dia terharu dan tidak sabar apabila dipilih untuk membuat persembahan bersama band legenda itu serta mengakui Search adalah kumpulan idolanya sejak dahulu lagi.
“Saya akan cuba berikan yang terbaik. Kepada semua peminat Search, jangan lupa saksikan persembahan kami dan tunjukkan tanda sokongan anda buat kami,” ujarnya.
Penganjur, Playmad Sdn Bhd, Abdul Rasyid Rahman berkata, jawapan persetujuan yang diberikan Akim membuatkan pihaknya teruja dalam menjayakan persembahan itu.
“Alhamdulillah, perbincangan bersama Search selesai dan mereka bersetuju. Selepas berbincang dengan anggota Search yang lain, Din menghubungi pihak pengurusan Akim untuk mendapatkan khidmatnya penyanyi bagi menjayakan persembahan ini. Alhamdulillah, respons yang baik diterima daripada pihak Akim,” katanya.