Ini pengajaran buat saya - Neelofa - Utusan Malaysia

Ini pengajaran buat saya – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengacara dan selebriti terkemuka tanah air, Neelofa menerima dengan hati terbuka mengenai kompaun yang dikenakan terhadap dirinya dan suami, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz.

Menurutnya dalam satu kenyataan media, perkara tersebut telah dimaklumkan kepadanya dan pihaknya mengambil tanggungjawab ini dengan sebaiknya.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran untuk menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa.

“Ia juga peringatan buat diri sendiri dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberat soal kepentingan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan,”katanya.

Selain itu, Neelofa juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik dalam menguruskan kes tersebut sebelum ini.

“Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian. Terima kasih sekali lagi,”katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah memaklumkan, pasangan popular tersebut masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kesalahan itu melibatkan majlis pernikahan mereka iaitu Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial.

Usahawan itu turut gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikahnya yang berlangsung pada 27 Mac lalu.

Selain itu, seramai 20 ahli keluarga Neelofa turut dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

Kesemua mereka akan dikenakan kompaun pada 27 April (hari ini).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya