CYBERJAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menerima baik keputusan mana-mana artis yang mahu terlibat dalam parti politik secara terbuka, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid menyifatkan perkara itu sebagai hak individu masing-masing.
“Tetapi apa yang penting mereka kenalah menjaga batas. Jangan sampai membawa industri seni ini ke kancah politik.
“Saya pun orang politik, tapi saya tidak pernah bercerita tentang hal-hal berkaitan kerana saya diletakkan dalam Finas untuk memastikan kesemua perancangan kerajaan dan pembangunan industri kreatif dapat berjalan dengan lancar.
“Saya tak ada masalah sekiranya ada rakan-rakan artis yang menyertai parti-parti politik, itu hak mereka. Cuma saya mohon jangan heret industri seni kita ke kancah politik. Gunakanlah kepentingan politik untuk industri kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kecoh di laman media sosial mengenai pembabitan secara terbuka oleh penghibur popular tanah air Afdlin Shauki dan komposer lagu hip hop, Altimet menyertai Parti Keadilan Nasional (PKR). Rata-rata peminat masing-masing menyokong tindakan peribadi mereka dan ada juga yang kurang bersetuju.