Amboi bukan main Cik Bunga memuji Bell. Tetapi ada benarnya kata Cik Bunga itu, kalau bukan sekarang kita menghargai bakat anak seni, bila lagi kan? Bila sudah tiada baru ‘oh kita kehilangan satu lagi permata’.
Sudah-sudahlah mengangkat mereka yang tak punya bakat dan hanya berdiri atas tiket kontroversi. Jangan rosakkan industri seni dengan lambakan pengejar populariti tapi produk seni ke laut.
Bercakap soal itu, Poklip sebenarnya agak risau dengan trend pemain industri yang mendedahkan mereka kemurungan. Bebanan kerja dan desakan warganet antara punca mereka tertekan.
Lihat sahaja kebelakangan ini, ramai artis antaranya Diana Danielle dan Janna Nick mengaku mereka murung dan anxiety. Walaupun populariti memeluk erat dua nama besar itu, tetapi tidak cukup untuk menyubur kesihatan mental.
Sebelum ini juga, Haqiem Rusly dan Zayn Nakal juga pernah melalui episod hitam sama. Jadi siapa harus kita salahkan? Sama ada artis itu sendiri atau ‘kekejaman’ dalam dunia seni yang tidak ramai tahu?
Poklip tahu, ramai sahaja artis yang mengalami masalah kesihatan sama cuma mungkin mereka tidak cukup berani untuk mengakui. Takut nanti lebih banyak kecaman dan sindiran yang diterima.
Apabila Janna menangis dan mengakui dirinya tertekan, ada yang menempelak dan ‘menasihat’ secara sinis supaya pelakon itu berhenti sahaja. Terus lupakan dunia seni, nasihatnya.
Tetapi dik, itu bukan caranya. Sepatutnya kita memberi sokongan dan mendoakan yang baik-baik. Jangan kerana awak benci atau tidak suka, maka semua masalah harus diselesaikan dengan cara menghilangkan diri.
Lihat sahaja industri seni Korea Selatan yang semua sedia maklum begitu ‘kejam’. Ramai yang mengambil keputusan menamatkan riwayat diri kerana tertekan. Jadi kita jangan buat main soal murung ini.
Nasihat Poklip, dapatkan nasihat dan rawatan pakar. Kalau boleh, berehatlah daripada dunia media sosial. Kita harus jaga jiwa dan raga. Bersahabat dengan mereka yang tahu menghargai dan memahami.