Hamizah, berhentilah berpura-pura! - Suami Serina Redzuawan - Utusan Malaysia

Hamizah, berhentilah berpura-pura! – Suami Serina Redzuawan

Aidid bersama isteri barunya Serina Redzuawan (kiri) dan bekas isterinya, Hamizah Shafee (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Suami baharu Serina Redzuawan, Meor Mohamad Aidid menegaskan, anak chef selebriti terkenal, Chef Wan tersebut bukan punca kepada keretakan rumah tangganya dengan bekas isteri, Nur Hamizah Shaffee.

Menurut Aidid, hubungannya dengan Hamizah sudah lama bermasalah dan hambar namun mengaku ketika bernikah dengan Serina Februari lalu,  Hamizah masih lagi merupakan isteri pertamanya.

“Serina bukan punca keruntuhan rumah tangga kami kerana terus terang, hati saya ini sudah lama tertutup buatnya (Hamizah).

“Satu fakta yang saya tak boleh nafikan, sewaktu bernikah dengan Serina, Hamizah masih lagi isteri saya. Namun tidak timbul soal bermadu kerana kami bercerai secara sah pada 9 Mac lalu.

“Sebagaimana semua tahu, proses tuntutan cerai di mahkamah memakan masa. Tetapi semua itu sudah selesai dan kini hanya Serina sahaja isteri saya,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Aidid juga melahirkan rasa kecewa dengan dakwaan Hamizah yang mengaku hubungan mereka tidak pernah bermasalah selama ini.

“Kami menjalinkan hubungan rumah tangga secara jarak jauh atas tuntutan kerja. Namun itu bukan alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab. Selain rumah tangga bermasalah, perkahwinan saya dan dia juga ada campur tangan keluarganya.

“Hati suami mana yang boleh tahan sabar apabila isteri tidak pandai menghormati. Hendak balik jenguk saya pun susah. Berbulan lamanya saya terbiar tanpa dipedulikan perasaan dan kebajikan diri.

“Makan pakai saya pun tak terjaga. Ibu bapa dan kawan saya jadi saksi seolah-olah saya  hidup macam orang bujang,” katanya.

Dalam pada itu, Aidid meminta bekas isterinya itu berhenti menyalahkan Serina dan menganggapnya sebagai punca keretakan hubungan mereka.

“Saya kenal Serina sekitar setahun lalu. Saya berhak untuk bahagia dan ada masa depan yang lebih baik dan bersyukur kerana sudah keluar dari hidupnya dan bekas keluarga mentua yang sering mempergunakan saya untuk kepentingan perniagaan kolej mereka.

“Jadi berhentilah berpura pura jadi mangsa. Tak perlulah sampai tahap nak buka cerita lama dan mencari perhatian media. Hentikan segala tohmahan dan hormati kerjaya saya sebagai polis,” katanya.

Jumaat lalu, Serina mengesahkan dirinya bergelar isteri buat kali kedua menerusi entri dalam laman Instagram (IG). Bagaimanapun, Serina tidak berkongsi perincian mengenai majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di sebuah negeri di utara tanah air.

Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya