KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Hefny Sahad, 33, terharu seorang pemanggil menghadiahkan wang kemenangan peraduan radio ke Pusat Pengajian al-Quran Dar Al Qari atas namanya baru-baru ini.
“Tak pernah pula dapat mesej macam itu. Perkara yang tak disangka-sangka, rasa sebak pun ada malahan terharu! Baik betul, tak tahu nak respons macam mana, saya terkejut. Saya anggap ini hadiah paling bermakna dalam Ramadan, lagi bersemangat untuk bekerja.
“Lazimnya untuk tembus talian masa peraduan memang susah sebab hanya satu line sahaja yang dibuka dan paling pantas akan dapat. Sekali dia menang, disedekahkan ke badan kebajikan niat atas nama saya,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu pemenang yang mohon namanya dirahsiakan memberitahu sendiri kepada Hefny.
“Alhamdulillah duit dah masuk malam tadi dan saya sudah pindahkan ke Dar Al Qari pagi ini. Saya niatkan atas nama awak jika ada pahala daripada kebaikan yang pusat pengajian gunakan duit ini, insya-Allah,” tulis pemenang rahsia itu.
Berkongsi mengenai puasa kali pertama sebagai penyampai radio di konti stesen, Hefny berkata, ke udara selama empat jam memang mencabar.
“Tahun lalu hanya bekerja dari rumah sahaja disebabkan pandemik di sepanjang bulan puasa. Tapi kali ini, di konti dan banyak bercakap sampai tekak pun kering, memang mencabar. Namun sebagai penyampai radio memasuki tahun kedua, Alhamdulillah dah faham banyak perkara fasal radio. Seronok kerja radio hari-hari kita belajar perkara-perkara baharu.
“Malah pendengar pun baik-baik dan ada sahaja cerita berlainan setiap masa. Bukan itu sahaja, hari-hari juga ada terima makanan daripada pendengar,” katanya yang nekad mahu fokus ibadah terawih tahun ini berbanding aktiviti seni.