KUALA LUMPUR : Sering sahaja dikaitkan dengan gelaran geng plastik hitam setiap kali menjelang Ramadhan, pelakon dan pelawak popular, Bell Ngasri, 40, tidak tersinggung dirinya menjadi bahan jenaka orang menerusi watak Barkoba dan Ngasri dalam drama16 dan 17 Puasa.
Menurut Bell, sebagai seorang pelakon, tentunya dia profesional dalam menggalas tugas itu dan gembira apabila watak lakonannya diterima baik oleh penonton dan masyarakat.
“Walaupun asal bulan Ramadhan ada sahaja yang menjadikan wajah saya sebagai jenaka geng plastik hitam, tapi saya okey sahaja, tak ada masalah pun tentang itu.
“Bagi saya, watak itu berjayalah,orang suka. Kalau ada yang cakap saya tak puasa, itu Barkoba atau Ngasrilah. Saya masih berpuasa ya!”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Bell, ketika dia melakonkan watak tersebut untuk naskhah 16 Puasa enam tahun lalu, penggambaran dilakukan pada bulan Ramadhan.
“Cuba tengok betul-betul, saya makan ke tidak dalam babak-babak yang dipertontonkan dalam drama itu? Saya tak makan sebab waktu itu saya berpuasa.
“Saya sebenarnya tak sangka walaupun drama itu sudah lama, tetapi naskhah Mamat Khalid ini ada kelompok peminatnya tersendiri. Tak sangka juga dapat perhatian sebab saya ini buat sahaja kerja sebagai pelakon.
“Kalau nampak macam betul tak puasa itu, maknanya saya berjayalah buat penonton percaya dengan hasil kerja saya,”katanya.
Dalam pada itu, Bell juga teruja dengan reaksi peminat dan penonton menerusi naskhah baharu Mamat Khalid yang berjudul 18 Puasa Di Kampong Pisang akan bersiaran pada 15 April ini di saluran Astro First.
“Ia merupakan gabungan 17 Puasa dan drama bersiri Kampung Pisang. Seronok sebab saya dapat bekerjasama dengan kawan-kawan lama dalam industri.
“Macam Aziz M Osman dan Uncle Dewa Sapri, semua itu orang lama yang semasa kecil, saya tengok mereka di kaca tv. Dapat bekerjasama, memang peluang yang baik buat saya,”katanya.