PETALING JAYA: Bersempena ulang tahun ke-25 penubuhannya, kumpulan Elite kini kembali bergabung semula menerusi sebuah single baharu berjudul ‘Alhamdulillah’ yang bakal dilancarkan pada bulan Ramadan tahun ini.
Kemunculan Elite pada kali ini telah memberi nafas baharu kepada industri muzik tanah air menerusi lagu yang berunsur ketuhanan bersulamkan rap.
Elite berkata, perkara membuatkan mereka ingin bersama kembali untuk pembikinan lagu tersebut kerana hubungan yang masih erat antara mereka.
“Lagu ‘Alhamdulillah’ berkisahkan tentang keinsafan insan yang berjaya mengharungi dugaan di samping dapat memanjatkan kesyukuran kepada Allah walaupun menempuh cabaran sukar yang pastinya mendatangkan hikmah.
“Selain itu, lagu ini juga sangat memberi makna kepada pendengar dan mesej yang ingin disampaikan semestinya ingin membawa semua ke jalan kebaikan,” kata kumpulan Elite.
Tambah kumpulan itu, menerusi lagu berkenaan sedikit sebanyak dapat memberi manfaat di dunia dan akhirat serta berharap dapat penerimaan orang muda walaupun lagu itu bercirikan ketuhanan.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim berkata, cabaran pada masa kini adalah pihaknya hanya membuat promosi berterusan secara atas talian kecuali jika Elite membuat persembahan.
“Gubahan lagu, rakaman lagu dan pengambaraan video muzik ‘Alhamdullah’ berjaya disiapkan dalam tempoh tujuh hari sahaja dengan bantuan semua kakitangan KRU termasuk anggota kumpulan Elite” katanya.