Bulu mata tiada pun dah rasa hilang nikmat - Ali XPDC - Utusan Malaysia

Bulu mata tiada pun dah rasa hilang nikmat – Ali XPDC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH : Vokalis kumpulan rock legenda, XPDC, Mohd Ali Ismail, 53, mengaku dirinya masih trauma dengan kejadian kebakaran yang berlaku menimpa dirinya pada awal tahun lepas.

Menurut Ali, meski keadaan dirinya sudah pulih daripada luka dan kecederaan, dia bagaimanapun masih perlu menjaga tahap kesihatannya lantaran mempunyai masalah pernafasan.

“Akibat kejadian itu, saya ada masalah pernafasan dan perlu menggunakan mesin bantuan oksigen. Pada awalnya memang saya bergantung kepada alat itu dan kerap ke klinik bila merasakan tidak selesa untuk bernafas.

“Tetapi kini sudah okey sikit. Cuma, saya tak boleh terlalu aktif sangat, nanti terasa sakit di bahagia dada,”katanya.

Ali berkata demikian semasa ditemui dalam majlis Kempen Sihat bersama House of Oxygen yang diadakan di Gelanggang Badminton Ezy, di sini, kelmarin.

Kata Ali, kerana mementingkan aspek kesihatannya, dia juga sanggup berhabis duit untuk membeli alat bantuan oksigen untuk kegunaan sendiri di rumah.

“Tak dinafikan, harganya boleh tahan mahal, tapi demi kesihatan, saya beli juga. Bukan apa, saya fikir, 10 kali pergi ke klinik pun sama juga harganya. Jadi lebih baik beli saja sendiri yang mana, ia boleh dimanfaatkan lama dan sangat efektif,” katanya.

Selain itu, Ali berkata, biarpun kejadian itu sudah berlalu, sehingga kini dia tidak boleh melihat sebarang kejadian kebakaran walaupun cuma dalam filem atau di kaca televisyen.

“Setiap kali tertengok kejadian macam itu, saya rasa berdebar-debar. Memang kejadian lama itu menghambat diri dan kalau diingat kembali, keadaan saya teruk juga masa itu.

“Saya ingat lagi, selepas diri terbakar, isteri macam tak percaya melihat saya dalam keadaan hitam berjelaga dan sempat ketawa. Iyalah, nampak hitam legam. Dia pun tak sangkalah betul-betul terbakar.

“Sampai kening dan bulu mata pun hilang tahu. Masa tu, terasa juga bagaimana nikmat Allah SWT, walau sekecil itu pun, rahmatnya amat besar.

“Tak apalah, saya redha kerana sedar dan faham, semua yang berlaku itu sudah tertulis,”katanya.

Pada 26 Mac lalu, Ali melecur 30 peratus di muka, tangan dan kaki selepas membakar sampah menggunakan petrol di belakang rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor.

Ekoran kejadian itu, Ali berkata, dia tidak boleh tidur dengan lena, malah berat badan susut sebanyak 20 kilogram (kg) hampir tiga bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya