Bekas penyampai radio, Subi meninggal dunia - Utusan Malaysia

Bekas penyampai radio, Subi meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas bertarung dengan pelbagai komplikasi kesihatan sejak lapan tahun lalu, bekas penyampai radio Suria FM, Subi, dilaporkan telah meninggal dunia pada pukul 1.32 petang tadi.

Difahamkan, Subi atau nama sebenarnya, Subarma Mohtaruddin menghembus nafasnya yang terakhir di hari pertama Ramadhan ini di Hospital Putrajaya selepas dikejarkan ke hospital tersebut sejak pagi semalam.

Menurut anak perempuannya, Nur Adibah Subarma, 24, ayahnya terpaksa dibawa ke hospital semalam setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah.

“Dia tidak pernah mengadu sakit perut selama ini dan apabila dibawa ke hospital, doktor yang merawat mengatakan sakit itu berkaitan dengan ususnya yang dikatakan gagal berfungsi selain beberapa komplikasi lain.

“Doktor menyarankan agar ayah dibedah namun telah dari awal memberitahu agar pihak keluarga bersedia dengan sebarang kemungkinan buruk,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Selain itu, menurut Adibah, dia dan seluruh ahli keluarga juga tidak menyangka Allahyarham akan pergi secepat ini memandangkan pihak keluarga juga menaruh harapan positif menerusi persetujuan pembedahan yang dilakukan tersebut.

“Kalau ditanya, memang saya termasuk ibu agak ralat jugalah sebab arwah tak pernah mengadu sakit sebegitu. Semua yang berlaku ini bagaikan terlalu tiba-tiba.

“Tetapi, kami semua redha dengan pemergiannya,”katanya.

Dalam pada itu, menurut Adiba,  setelah selesai urusan membawa pulang dan memandikan jenazah, Allahyarham ayahnya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, Sepang pada petang ini.

Terdahulu, menerusi laporan berita, Allahyarham dilaporkan pernah mengalami kemalangan pada Ogos tahun lalu sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan dalaman selain hilang pendengaran.

Allahyarham menamatkan kontrak dengan Suria FM pada penghujung tahun 2017 dan mengendalikan radio Internet dan karaoke sendiri.

Selain anaknya Adibah, Allahyarham juga meninggalkan seorang balu, Siti Aishah Saironi, 58, serta seorang anak lelaki, Muhammad Yusof, 19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya