KUALA LUMPUR : Lagu Eh nyanyian Zizi Kirana dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 berserta trofi pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35). semalam.
Lengkap berpakaian seakan-akan dewi legenda Indonesia iaitu Nyi Roro Kidul atau Kanjeng Ratu Kidul, Zizi berkata, dia sengaja menyuntik elemen tradisional ke dalam lagu genre hip hop itu bagi memberikan sedikit nafas nusantara.
“Berkenaan busana dan susun atur pelbagai muzik rebana, gamelan, seruling dan banyak lagi, sedari awal sudah saya rancang, kalau masuk ke peringkat akhir Muzik-Muzik pada AJL 35, memang ini lah konsepnya.
“Lagi pun saya memang suka akan busana ini selain mempunyai ahli keluarga dari seberang. Lalu saya fikir, mahu ketengahkan sekali budaya nusantara ke dalam lagu Eh,” jelasnya pada sidang media virtual pasca AJL35.
Ditanya mengenai pesaing rapat dalam pertandingan malam semalam, anak jati kelahiran Semporna, Sabah itu menyebut lagu berjudul Pantun 7 Nasihat dan Gila.
“Bagi saya dua lagu ini mempunyai rentak hip hop. Bagaimanapun tahniah sebab angkat semula genre ini dengan suntikan pembaharuan. Saya bangga,” puji Zizi.
Dalam pada itu, 11 tahun pembabitan dalam industri dan akhirnya berpeluang beraksi di pentas akhir AJL, Zizi berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya tanpa henti.
“Akhirnya rezeki saya dapat ke pentas akhir. Terima kasih buat pasukan saya, kelab peminat Zizi Palace di Malaysia dan Brunei, ahli keluarga termasuk komposer dan rakan penulis lirik.
“Saya dari awal sejujurnya tak rasa akan ada tempat dan fikir mahu berseronok ketika membuat persembahan untuk peminat,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Zizi akan terlibat dengan penggambaran lakonan dan mengaku jadualnya agak padat dengan melibatkan beberapa kerjaya dan aktiviti seni sehingga hujung April ini.