KUALA LUMPUR: Pelakon, Luqman Hafidz, 30, tampil berkongsi berita baik dia dan isteri Nurul Atiqah Mad Apandi sudah pun menimang cahaya mata pertama pada 6 Februari lalu.
Menurut pelakon Luqman ketika menghadiri sesi fotografi di Utusan Malaysia, kehadiran cahaya mata nyata merubah peranan dan rutin hariannya daripada seorang suami kepada bapa.
“Bila sudah ada anak ini saya akan kerja lebih keras sebab ada tanggungjawab baharu. Segala duit keluar masuk kena jaga untuk masa depan anak. Rasanya bila sudah ada anak ini lain, balik kerja bila kita penat hilang terus,” ujarnya anak sebagai motivasi.
Terdahulu ditanya mengapakah Luqman tidak berkongsi sudah memiliki anak cahaya mata bersama peminat menerusi media sosial, dia mempunyai asbab tersendiri.
“Saya mengambil keputusan untuk berkongsi berita ini selepas genap 44 hari untuk memastikan anak saya betul-betul sihat dan mengelakkan penyakit ain. Alhamdulillah ibu dan anak saya selamat,” jelas Luqman yang menamakan anak mereka, Eve Laura.
Bakal menyambut Ramadan dan Syawal, katanya, itu adalah masa yang sesuai untuk ahli keluarga lain melihat dan bergambar dengan anak mereka.
“Insya-Allah melihat situasi Covid dan SOP semakin ketat, saudara mara boleh sahaja datang mengunjung nanti,” katanya.
Luqman dan pasangan selamat mendirikan rumah tangga pada 20 Mac tahun lalu.