Tiada tayangan di pawagam, Ghaz kecewa - Utusan Malaysia

Tiada tayangan di pawagam, Ghaz kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar, mengaku sedikit kecewa apabila filem arahannya, Bulan & Pria Terhebat terpaksa dihentikan tayangan susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Menurut Ghaz, sebagaimana sutradara lain, semestinya dia juga menyimpan impian besar untuk melihat filem garapannya itu berupaya mencatat kejayaan luar biasa jika berpeluang ditayangkan di pawagam.

“Secara peribadi, saya agak kecewa kerana tidak dapat berkongsi pengalaman mendengar gelak ketawa bersama penonton di pawagam. Namun, saya melihat keputusan untuk menayangkan filem itu di skrin televisyen juga memberi petanda positif. 

“Saya percaya filem ini akan dapat ditonton lebih meluas apabila disiarkan menerusi Astro First dan berharap penonton akan mengulang langganan untuk menikmati kepuasan tontonan yang sebenar.

“Saya juga mengharapkan pandangan daripada semua penonton kerana ia memberikan saya semangat untuk terus berkarya dan menghasilkan karya yang lebih bermutu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ghaz lagi, dia bagaimanapun tidak akan menjadikan perkara itu sebagai penyebab untuk mudah berputus asa kerana sentiasa menyimpan harapan untuk melihat industri perfileman tanah air terus berkembang dengan sihat.

Malah, meskipun impian untuk melihat filem itu kembali diputarkan di pawagam tidak menjadikan kenyataan, Ghaz percaya,  keputusan penerbit untuk menayangkannya Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula kelmarin menyimpan hikmah tersendiri.

“Negara masih bergelut untuk bangkit daripada ancaman pandemik Covid-19, saya akur bahawa para pengkarya turut berdepan situasi mencabar, terutama berkaitan garis panduan atau standard of Procedure (SOP) di pawagam yang membataskan jumlah penonton selain secara tidak langsung memberi kesan dari sudut kutipan tayangan.

“Jadi saya menyambut baik kehadiran platform penstriman digital dan OTT seperti Astro First yang sangat membantu pengkarya dalam mengharungi cabaran pandemik.

“Cuma, perkara yang paling merisaukan pengkarya dari sudut isu cetak rompak kerana ia lebih mudah berlaku menerusi platform penstriman digital. Saya berharap pihak pengedar akan memantau secara serius perkara ini,” katanya.

Bulan & Pria Terhebat berkesempatan ditayangkan selama lima hari serentak di pawagam tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura pada 12 Mac 2020.

Filem ini menampilkan Zahirah MacWilson dan Zizan Razak sebagai tunjang utamanya selain turut dibarisi pelakon lain seperti Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi, dan Yus Noor. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya