KUALA LUMPUR: Pandemik yang melanda bukan sahaja memberi kesan kepada golongan penggiat seni sahaja, malah ruang mengasah bakat turut terkesan apabila Revolution Stage kini ‘nazak’ hampir disita.
Menurut pengasas Revolution Stage juga aktivitis teater berpengalaman lebih 10 tahun, Khairunazwan Rodzy, perjuangan menyelamatkan ruang seni anak-anak muda bergiat dan melakukan aktiviti seni teater di Projek Bilik Sempit atau Studio Revolution Stage kini sudah hampir sampai ke hujung usaha.
“Sesungguh-sungguhnya kami sudah tiada masa dan hanya berbaki lagi sembilan hari selepas itu kami akan dihalau. Hanya bantuan dan sumbangan kalian akan menolong kami menyelamatkan ruang seni ini.
“Kita akan kehilangan ruang teater berbaki beberapa hari sahaja lagi jika kamI tidak dapat mengumpul RM23,000 untuk membayar baki sewa tertunggak sejak tahun lepas. Kami tidak mahu mengalah, kami perlukan bantuan anda, hanya tinggal azam dan kempen ini yang sedang kami usahakan,” pintanya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam pengkhususan pengarahan berkata lagi, mereka akan kehilangan ruang seperti kelas teater bagi semua peringkat umur.
“Antara lain seperti kelas penulisan, skrip, lakonan, pengarahan, kelas teater kanak-kanak dan design. Ruang untuk latihan dan pementasan teater untuk berkarya dan kolaborasi tanpa mengira latar belakang serta pengalaman,” katanya.
Studio Revolution Stage terletak di Dataran Pelangi Utama, One Avenue, Petaling Jaya dan kini sudah berdiri megah lebih sedekad di pentas teater tanah air serta berjaya mementaskan pelbagai jenis genre teater antaranya muzikal SudirMania, Asrama-RA, AllStars, SuperHero The Musical dan Sekuntum Mawar Merah.
Sumbangan boleh dibuat ke akaun CIMB BANK Revolution Stage 8600038320 atau hubungi terus menerusi Instagram Khairunazwan Rodzy.