KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) melihat ada keperluan untuk golongan artis di negara ini menerima suntikan vaksin lebih awal.
Jelas presidennya, Zed Zaidi, jika langkah ini diambil ia sekali gus meringankan beban kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang lebih jelas mengenai program vaksinasi.
“Kita melihat bagaimana negara luar menggunakan pengaruh artis ini dalam menyampaikan maklumat yang lebih jelas mengenai vaksin. Sekali gus kerjasama ini membuka mata rakyat di negara itu mengenai kepentingan menerima vaksin Covid-19.
“Kita harus akui pengaruh yang dimiliki golongan artis ini di media sosial sangat besar. Jadi rugilah kalau pihak kerajaan sendiri tidak menggunakanya,”katanya yang ditemui pada majlis Survival Pandemik Anak Seni semalam.
Sementara itu jelas Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil,41, pilihan untuk golongan artis mendapat vaksin lebih awal juga mampu menyelesaikan isu rungutan artis yang terpaksa membuat terlalu banyak ujian calitan dalam meneruskan penggambaran.
Jelasnya sehingga ke hari ini juga pihaknya sudah menerima puluhan laporan yang meminta agar prosedur operasi standard (SOP) diperincikan kembali dalam membantu golongan ini meneruskan pekerjaan.
“Sebelum masalah penggambaran tidak boleh dilakukan secara outdoor hanya indoor, kini timbul pula masalah pelakon terpaksa melakukan ujian calitan berulang kali mengikut projek yang diterima. Selain melibatkan kos yang membebankan, kita juga tahu bagaimana sakit ujian itu.
“Jadi kami melihat vaksin adalah jalan terbaik selain dalam masa yang memudahkan SOP yang ada ini. Bukan tidak mahu ikut SOP cuma lebih ringankan tidak perlu mengikut projek. Kalau ikutkan sebelum ini bukan mengikut projek,”katanya.