PUTRAJAYA : Tidak mampu membawa nama kumpulannya, Mashuk untuk mara ke peringkat akhir program Muzikal Lawak Superstar (MLS), pelawak dan selebriti popular, Achey mengaku kematian ayah baru-baru ini adalah antara punca dia gagal memberi fokus.
Mengulas mengenai hal itu, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 35, dia sudah cuba untuk membuat persembahan dengan sebaik mungkin namun tidak menolak dirinya masih dibelenggu dengan trauma.
“Doktor mengesahkan saya ada minor trauma. Bayangkan, selama ini belum pernah saya mengigil nak naik pentas untuk buat persembahan, tetapi malam suku akhir tempoh hari, itulah yang terjadi sehingga membuatkan saya rasa pelik.
“Terus-terang, saya rasa bersalah kerana mungkin disebabkan saya maka Mashuk tak dapat meneruskan perjuangan ke peringkat akhir. Saya benar-benar minta maaf,”katanya.
Achey berkata demikian bagi mengulas mengenai penyingkiran kumpulannya yang turut dianggotai oleh Shuk Sahar dan Mark Adam dalam program terbitan Astro tersebut baru-baru ini.
Selain itu, menurut Achey, dia tidak menolak terpaksa mengawal perasaan dan berhati-hati dalam mengadakan persembahan lawak memandangkan seisi keluarga juga sedang dalam tempoh berkabung.
“Kekuatan saya adalah emak. Sebelum kembali ke ibu kota, saya minta izin dan minta maaf banyak-banyak dengan dia sebab ada tugas yang perlu saya buat, iaitu membuat jenaka, membuat orang ketawa.
“Saya pesan pada emak supaya tutup televisyen. Saya tak nak emak tengok saya buat kelakar walhal ayah baru meninggal dunia, rasa macam tak hormat.
“Tetapi ini tugas dan tanggungjawab, kerja saya. Siapa yang faham, fahamlah,”katanya.
Dalam pada itu, Achey berterima kasih kerana Shuk dan Mark begitu memahami situasi dirinya lantaran kedua-duanya juga sudah dianggap seperti adik-beradik.
Terdahulu, pada 19 Mac lalu, Achey membuat perkongsian dalam Instagram mengenai pemergian Allahyarham bapanya yang meninggal dunia selepas dilaporkan tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital di Segamat sehari sebelumnya.
Kejadian itu semakin membuatkan dirinya dirundung trauma memandangkan pada tahun lepas, ketika sedang menyertai program yang sama, ayah mertuanya juga dilaporkan meninggal dunia.