KUALA LUMPUR: Pelakon tampan, Randy Pangalila, 31, dan isterinya, Chelsey Frank selamat menimang cahaya mata perempuan di Hospital RSIA Bunda, Jakarta, Indonesia, pukul 9.45 pagi Rabu.
Menerusi hantaran di Instagram, Randy meluahkan rasa syukur semuanya dalam keadaan baik dan berkongsi nama anak serta beberapa keping gambar.
“Semalam merupakan hari paling bermakna buat saya dan isteri. Wanita kuat ini telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan dan kami namakan Blair Willow Pangalila.
“Sebuah momen bahagia yang sudah dinanti-nantikan. Terima kasih doktor dan jururawat yang sudah membantu kelancaran proses bersalin isteri saya, sempat bergurau kecil supaya isteri tidak tertekan,” tuturnya.
Pelakon sinetron terkenal itu juga memberitahu, pihak hospital berkenaan mengikuti prosedur dan protokol covid di sepanjang keberadaan mereka di sana dengan baik.
Terdahulu pasangan merpati dua sejoli itu selamat disatukan dalam majlis meriah pada 19 Januari 2019.