KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Kyoll Hamzah, semakin aktif dengan penjualan makanan sementelah golongan artis sahaja yang terkesan dengan pandemik kini.
Jelas pengarah drama Dear Cinta kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, meskipun perniagaan kecil ini sudah dijalankan sejak dahulu lagi tetapi sejak wabak melanda kuasa pembeli sudah berkurangan.
“Sebagai pengarah pun sama sahaja sebab kerja produksi ini ada job adalah pendapatan. Jadi saya kena buat duit tepi dengan berniaga makanan seperti susu segar, nasi lemak, biskut, dan kek butter moist.
“Walaupun sudah bermula awal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terkejut juga sebab pembeli berkurangan dan terpaksa berjualan atas talian,” ujarnya yang berniaga di depan Bank Islam Semenyih.
Jika Kyoll menjalani penggambaran, perniagaannya akan dibantu oleh abang sulungnya.
Menerusi pemerhatian Utusan Malaysia, rata-rata penggiat seni kreatif semakin aktif dengan cabang perniagaan sebagai alternatif untuk menyara kehidupan seharian mereka.