KUALA LUMPUR: Pengarah terkenal, Nizam Zakaria, memuji sikap yang diberikan oleh pelakon baharu, Wafariena dan aktor meningkat naik, Syazuwan Hassan, menerusi drama Baby Tak Gila terbitan Pencil Pictures & Records.
Jelas sutradara itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, meskipun mereka masih hijau namun komitmen yang diberikan harus diberikan kredit sementelah pesannya kepada golongan pendatang baharu lain perlulah menghilangkan rasa malu ketika di set penggambaran.
“Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan hasil kualiti lakonan mereka yang begitu ‘memberi’. Hal itu kerana, ada bahagian-bahagian pada babak tertentu agak berat juga tetapi mereka mampu berikan sepenuhnya dan berdedikasi.
“Apabila mereka rajin dan faham watak, secara tidak langsung ia memudahkan kerja apa yang saya nak. Kalau nak bercakap fasal cabaran dalam drama ini Alhamdulillah tidak ada, kerana para pelakon masing-masing memberi.
“Bagi pendatang baharu lain sebaiknya kena hilangkan rasa segan dan banyakkan berkomunikasi dengan pelakon-pelakon berpengalaman. Sebagai contoh Ellie Suriaty, pada masa sama juga dia ada tunjuk ajar dengan mereka,” katanya.
Menyentuh mengenai isu instafamous yang kini diangkat menjadi pelakon sebagai bidan terjun, Nizam tidak menafikan ada di antara lakonan mereka yang kurang memuaskan.
“Selalunya kami akan ambil mereka yang sememangnya sudah dilatih atau ada pengalaman menerusi lakonan pentas teater seperti dari UiTM dan lain-lain institusi. Sebab mereka akan lebih tersedia dengan watak-watak diberikan.
“Namun, mereka yang datang dari dunia media sosial sukar sedikit dan memerlukan kesabaran dari pihak pengarah untuk menghadapi lakonan yang tak mencapai standard. Justeru mereka perlu belajar dengan menghadiri ke kelas lakonan untuk menghayati banyak lagi watak-watak menerusi drama sebagai contoh,” tuntasnya.
Saksikan drama rantaian yang turut disuntik runut bunyi oleh penyanyi Fian Ali, berjudul Ala Shayang itu di unifiTV Hypp Sensasi saluran 116 setiap hari Isnin hingga Khamis jam 9 malam.
Dalam perkembangan lain, Nizam kini sedang menjalani penggambaran drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang menampilkan gandingan pelakon, Redza Rosli dan Sharifah Rose .