KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun menolak perkongsian di Twitter miliknya yang didakwa warganet sebagai berniat untuk merendah-rendahkan persembahan Nabila Razali pada Anugerah Juara Lagu ke 35 (AJL35) malam semalam.
Jelasnya sebagai peminat kepada lagu itu, dia meminta maaf sekiranya ada yang melihat kenyataan yang dikeluarkan itu berbaur negatif.
“Tiada niat untuk merendah-rendahkan Nabila dan pasukan lagu itu. Jujurnya saya adalah diantara peminat lagu Peluang Kedua.
“Bagaimanapun saya meminta maaf sekiranya ada yang terkesan dengan Tweet yang dimuatnaik oleh saya,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Memuji semangat Nabila, bagi Hafiz bukan sesuatu yang mudah buat penyanyi itu sendiri untuk berada di pentas AJL35 semalam.
“Melihat semangat yang ditunjukkan Nabila menyanyikan lagu itu sehingga habis, saya akui bukan mudah. Memang sesuatu yang perlu dihargai.
“Sebagai penyanyi kita faham rasa berdebar dan bagaimana untuk mengawal emosi ketika di atas pentas bukan sesuatu yang mudah,”jelasnya lagi.
Sementara itu ditanya mengapa dia memadam hantaran miliknya selepas beberapa minit, jelas Hafiz dia lebih senang sekiranya perkara itu tidak terus diperbesarkan.
“Saya tidak sangka menjadi sebesar ini, apa yang dikongsi juga sekadar pandangan peribadi sebagai penonton dan peminat lagu itu sahaja.
“Tetapi sebagai rakan artis saya tidak pernah mahu memperlekehkan mana-mana pihak.
“Malah sehingga hari ini saya tidak akan terlepas untuk memberi sokongan kepada Nabila sendiri. Apa pun saya sekali lagi meminta maaf,”katanya.