KUALA LUMPUR: Komposer dan penulis lirik popular, Ezra Kong, 33, melahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai atas sokongan yang diberikan dan turut memohon maaf andai dirinya ada salah dan silap.
Pada masa sama Ezra ketika dihubungi memaklumkan dia baru sahaja membuka akaun Twitter pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) hanya kerana mahu melihat rantaian komen ‘jabatan netizen’ pada lagu ciptaannya.
“Sebenarnya saya baru sahaja buka akaun Twitter sebab dengar lagu nyanyian Amir Masdi iaitu Kau Sakiti sohor kini. Saya sangat teruja apabila membaca komen-komen positif daripada pengguna laman sosial tersebut.
“Jadi di kesempatan ini saya nak berterima kasih kepada orang di luar sana yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada saya dan penggiat seni muzik. Kalau ada salah silap dan kelemahan, saya minta maaf,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagaimana artis lain yang menerima kritikan, Ezra juga tidak terlepas.
Tetapi dia yang sudah lima kali berturut-turut memenangi anugerah menerusi AJL itu, mengambil kritikan-kritikan tersebut sebagai pengajaran dan pengalaman.
“Ada juga beberapa komen yang negatif sehingga menyebabkan emosi saya sedikit terganggu sampaikan tidak henti-henti baca komen dan kerja pun terganggu. Pada yang mengkritik saya akan cuba perbaiki kelemahan.
“Saya juga mohon maaf sebab ada melakukan kesilapan dalam pengucapan baru-baru ini dan sudah juga buat permohonan maaf secara terbuka di akaun Instagram saya,” katanya.
Berbicara mengenai pencapaiannya, Ezra atau nama penuhnya Ezra Kong Yi Jia menjadikan Hael Hussaini, Faizal Tahir, Mike Chan, Omar K dan Audi Mok sebagai mentor dalam kerjaya seninya.
“Perjalanan ini tidak mudah tetapi saya bersyukur dan berterima kasih kerana adanya mentor disekeliling yang selalu membantu dalam penghasilan sesebuah lagu.
“Sebagai komposer dan penulis lirik ada masanya hasil ditolak oleh segelintir penyanyi sebab tidak kena atau kurang dengan jiwa mereka namun saya perbaiki dan berikan semula untuk didengari.
“Bila bekerjasama dengan penyanyi, hasil karya sangat penting untuk mereka kerana lagu akan dinyanyikan bertahun-tahun, tambahan pula mereka melabur duit. Justeru, penting untuk mereka dan saya sangat faham kalau hasil saya mereka tolak, kalau tak sesuai pun saya akan sarankan,” kongsinya.
Pada malam AJL35, dua lagu kolaborasi bersama komposer lain menggondol dua kemenangan iaitu, lagu Gila (juara) nyanyian Kaka Azraff, Loca-B dan Noki dan lagu Belenggu Rindu (tempat ketiga) nyanyian Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah.
Terbaru di radar Twitter ketika ini sedang hangat memuji magis sentuhan Ezra. Antara hasil karya lainnya seperti Siapa Diriku (Ayda Jebat), Knock Knock (Elizabeth Tan), Nisan Cinta (Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor), Vroom Vroom (Nabila Razali) dan banyak lagi.