Kaka Azraff, bawa semangat arwah nenek - Utusan Malaysia

Kaka Azraff, bawa semangat arwah nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menyandang gelaran juara menerusi lagu Gila pada Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) semalam, penyanyi Kaka Azraff tidak menafikan dia berdepan dengan cabaran yang kuat.

Jelas Kaka, dia terpaksa memendam segala perasaan bercampur baur itu kerana mahu memberikan sepenuh tumpuan pada nyanyian dan persembahan pada malam akhir AJL.

“Saya hilang telefon bimbit satu hal, tapi yang lebih menguji saya adalah apabila mendapat tahu nenek meninggal dunia sehinggakan seharian tak dapat menjalani latihan dengan Loca dan Noki.

“Saya tak habis merintih dan bersedih lagi sebenarnya sebab nak fokus dan selesaikan tugas di AJL. Tak mahu kecewakan peminat dan  pasukan.

“Semasa di pentas itu, saya memang rasa semangat arwah nenek. Dari kecil arwahlah yang ajar saya menyanyi, dia memang teman sejati,”kongsinya dengan nada sebak pada sidang media virtual pasca AJL35.

 

Meskipun kehilangan orang tersayang masih terasa, namun ia bukan menjadi asbab untuk penyanyi ini patah semangat.

“Saya tak akan tarik diri walaupun selepas pemergian arwah nenek. Kalau nenek masih ada, dia pasti tak izinkan saya berbuat demikian. Ketika hayatnya, dia selalu memberikan dorongan yang tak putus-putus dan mahu melihat saya di pentas ini,” tambahnya lagi.

Dalam kemenangan membawa hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi, Kaka menyifatkan ini adalah usaha hasil bersama Loca-B dan Noki serta Ezra Kong.

“Saya berterima kasih kepada semua  yang terlibat termasuk Loca dan Noki kerana telah memberikan 200 % usaha. Jadi alhamdulillah kita berjaya setelah pelbagai ujian yang diharungi bersama,” katanya.

Sementara itu, pentas akhir AJL35 turut menyaksikan lagu nyanyian Aina Abdul berjudul Semalam dinobatkan sebagai Naib Juara dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 selain trofi.

Manakala, lagu Belenggu Rindu, ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini serta dinyanyikan oleh Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah,  meraih tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 serta trofi.

Lagu Gundah nyanyian penyanyi hebat Ernie Zakri pula dipilih sebagai pemenang Vokal Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 berserta trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya