Jangan biar muzik mati ditikam pandemik - Utusan Malaysia

Jangan biar muzik mati ditikam pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lebih setahun kita mengenali virus Covid-19 yang direjam. Hampir setahun juga kita dibelenggu norma baharu di bawah pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiap hari kita baca rintihan pemain industri itu dan ini yang terkesan kerana pandemik. Namun, dalam kebisingan pelbagai industri ini yang mengadu kelemasan, ada suara yang tenggelam di dasarnya.

Suara itu ialah suara industri muzik.

Bukan tentang para elit

Sebelum anda menyerang saya dengan dakwaan bahawa industri ini tidak terkesan kerana pada garis masa Instagram anda sentiasa ada penyanyi kaya menayang kemewahan, biar saya jelaskan.
Industri muzik bukan hanya tentang penyanyi. Malah, ia bukan juga tentang penyanyi yang anda kenal sahaja. Berani saya katakan, kurang 10 peratus sahaja yang terlibat dalam industri ini kaya-raya dan mewah bergelumang harta.

Para pemuzik, penganjur acara, sokongan teknikal, pasukan pengurusan, jurutera muzik dan pelbagai lagi jawatan yang anda tidak pernah tahu kewujudannya; mereka juga perlu cari makan.
Itu belum dikira pecahan lapangan (scene) masing-masing. Ada lapangan independen, kelab, majlis perkahwinan dan beberapa lagi.
Sebab itu jika anda fikir pandemik ini tidak memberi kesan kepada pemain industri kerana ramai yang kaya, anda silap.

Ketar lutut, ketar dompet

Sudah sekian lama kita tidak menikmati konsert atau gig. Ada yang ketar lutut mahu mosh namun itu bukan isunya. Ketar lutut kita boleh tahan, tapi bagaimana mereka yang terketar memegang dompet kerana isinya kosong? Beras pun kita tak boleh beli.

Dalam lapangan independen, permainannya berbeza dengan arus perdana. Artis di arus perdana boleh hidup mewah dengan tajaan produk, jemput ke televisyen baik untuk menyanyi atau jadi juri. Bagi mereka di lapangan independen, sudah turun-temurun pendapatan dikumpul melalui gig dan jualan album serta cenderamata.

Industri muzik dalam lapangan independen juga ada rantaian bekalan. Satu gig boleh suap nasi kepada banyak mulut. Kugiran akan dapatkan krew sokongan teknikal, penganjur acara akan upah jurugambar dan juruvideo. Tidak kurang penting, abang pasang lampu. Dia juga perlu beli beras.

Oleh sebab itu, apabila tiada lagi persembahan muzik secara langsung dapat diadakan sepanjang pandemik ini, ia memberi kesan kepada ramai orang. Persoalannya, kepada siapa mereka mahu mengadu?
Ibrah penyapu lidi

Ibrah. Sengaja saya tulis supaya anda tahu, saya pandai juga sikit-sikit bahasa Arab.

Ini kisah yang klasik apabila kita bercakap tentang kerjasama atau penyatuan suara. Teladan yang diambil daripada penyapu lidi yang apabila dipisah-pisah, mudah patah; apabila disatukan, jadi teguh.

Begitu juga dengan suara para pemuzik. Jangan dibiar terpecah-pecah, satukannya biar kuat dan diambil peduli. Laungkan sepenuh hati seperti anda sing along dalam gig.

Ini yang perlu dilakukan para pemain industri muzik tidak kira dari lapangan apa. Industri ini perlu dihidupkan supaya para pemainnya boleh cari makan. Kalau kerajaan boleh bantu orang filem, kenapa bukan orang muzik?

Kita tiada persatuan atau agensi kerajaan sebagai tempat mengadu. Tak perlu peduli semua itu. Kita tidak perlu tempat mengadu, kita cuma perlu bersatu.

Persembahan dalam norma baharu sudah terbukti boleh berlangsung. Atas Angin sudah buktikannya dengan penganjuran Atas Angin Recovery Show. Kalau ada kelemahan kita perbaiki, cuma jangan ditutup terus pintu rezeki.

Panggung wayang dan restoran boleh dibuka tetapi mengapa tidak kelab-kelab tempat pemuzik di situ mencari rezeki? Ini bukan soal moral, ini asas ekonomi. Rantaian bekalan diputuskan maka pasti ada yang terkesan.

Buat semua yang terkesan akibat pandemik ini, saya mendoakan anda diberi ruang untuk mencari rezeki. Kita bersatu dan laungkan suara menuntut hak bersama-sama. Semoga ada jalan, Amin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya