Dalam usaha memajukan bidang industri kreatif, Perdananan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melancarkan Program Peningkatan Kapasiti Industri Kreatif (MyCap) bagi mengumpul data buat pemain-pemain industri.
Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya kini sedang mengemaskini platform data meliputi penggiat industri, persatuan dan syarikat dengan skop penilaian lebih luas.
“MyCap ditubuhkan sebagai platform penilaian selain mengiktiraf peranan semua penggiat industri seni tanahair untuk rujukan masa akan datang,” kata Zakaria.
Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Program Bengkel Komprehensif Penulisan Komersial, Kerjaya Profesional (Penulisan Skrip Drama TV- Adaptasi Daripada Novel Popular) di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.
Sebelum ini, Finas turut melancarkan Pakej Ransangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) buat semua penggiat industri kreatif yang terjejas dek pandemik Covid-19.
Prisma misalnya, ditubuhkan sebagai bukti keperihatinan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memudah cara pembiayaan dengan menghasilkan kandungan kreatif, mengupayakan kapasiti dan kemahiran dan menyediakan akses pasaran bagi produk kreatif tempatan.
“Prisma dijangka memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat seni dengan mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melibatkan penyediaan peruntukan sebanyak RM89.2 juta.
“Salah satu inisiatif Prisma yang sedang dilaksanakan adalah Program Creativity Never Stop yang bertujuan untuk memberi peluang kepada penggiat seni berkelayakan dalam bidang pra-produksi, produksi dan pasca produksi menganjurkan bengkel secara atas talian termasuklah menerapkan elemen tenaga pengajar atau pakar industri tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.
Setakat ini sebanyak 121 permohonan bagi Program Creativity Never Stops 1.0 dan 2.0 diluluskan KKMM dan Finas bagi memajukan lagi sektor industri kreatif negara.
Sementara itu, program bengkel komprehensif penulisan yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan (WHAM) dengan kerjasama pihak FINAS.
Menurut Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, program kali ini telah dirancang pada awal tahun lalu tetapi beberapa kali ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 apabila banyak acara seminar dilarang untuk dilaksanakan.
“Penyertaan bengkel ini membabitkan penyertaan utama daripada bekas wartawan yang berminat untuk mendalami bidang penulisan karya kreatif.
“WHAM akan terus membantu menganjurkan pelbagai program sebegini dengan sasaran kepada rakan-rakan media yang terjejas,” katanya.