KUALA LUMPUR: Pelakon, Idzham Ismail, 32, mengakui dia seorang yang ego di awal penglibatan kerjayanya namun setelah memasuki kelas lakonan Fauziah Nawi dua tahun lalu, dia sedar masih banyak perlu diperbaiki.
Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi drama Juvana itu, biarpun sudah mengikuti kelas lakonan tetapi hasilnya perlu mengambil sedikit masa.
“Memang betul banyak rupanya saya tidak tahu, dulu ego rasa sudah bagus. Tapi bila masuk kelas rupanya banyak ruang kosong yang masih belum diisi ‘pelurunya’ untuk masuk ke gelanggang sebenar.
“Saya buang ego semata-mata mahu capai sasaran. Tapi kena ingat, tidak semestinya masuk kelas lakonan terus pandai. Ambil masa juga untuk mendalami ilmu baharu dalam diri kita. Dalam masa yang sama saya akan datang ke casting jika perlu, tiada alasan untuk saya sebagai pelakon elak berbuat demikian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah pelakon berpengalaman lebih 10 tahun itu lagi, dia pernah menerima kritikan daripada orang industri dikatakan lakonannya biasa sahaja dan stereotaip.
“Saya pernah rasa tertekan di mana ada orang industri beri kritikan secara bersemuka, katanya lakonan saya biasa sahaja dan tidak boleh pergi jauh. Hari demi hari saya mencari kelemahan dan pada masa sama saya pertingkatkan skil lakonan. Sebab saya bukan seorang yang mudah mengalah dan akan pastikan matlamat tercapai. Kadang diri kita perlukan ‘hentakan’ untuk sedar.
“Begitu pun, terima kasih kepada individu tersebut dan dia adalah salah satu guru saya. Alhamdulillah, nampak hasilnya dan dapat buat beberapa pengarah serta produser percaya pada bakat diri saya,” ujarnya yang sedang menjalani penggambaran Ustazah Bikers terbitan A.Aida Production.
Meletakkan sasaran untuk mendapatkan watak besar dan lebih mencabar, terbaru bintang itu menerima pujian daripada pelakon hebat Datuk Jalaluddin Hassan.
“Lakonan yang sangat bagus Idzham. Serius… babak lakonan awak dengan Ziyad tentang cincin, wow! Sangat rileks dan bait-bait skrip awak dalami dengan sebaik-baiknya. Tak terkelip mata menengok lakonan awak,” pujinya menerusi hantaran di WhatsApp.
Dalam perkembangan lain saksikan Idzham menerusi drama Sedingin Salju yang bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.