BANGI : Penceramah bebas, Da’e Syed mengaku, selepas melalui episod hitam dan kontroversi sebelum ini, dirinya masih dibelenggu dengan trauma terutama setiap kali perlu berhadapan dengan pihak media.
Menurut Syed dengan nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Muhammad Syaiful, 26, keadaan itu kerana dia sering diasak dengan pertanyaan dengan perspektif negatif selain dilabel segelintir masyarakat sebagai penunggang agama.
“Adalah juga rasa trauma bila dengan media, tapi saya sedar suka atau tidak kena bersikap profesional. Tentang perspektif pula, tiada daya untuk saya menahan atau menghalang orang di luar sana fikir apa mengenai diri ini.
“Mereka nak tulis apa atau cakap pasal apa, itu hal mereka. Saya akan buat biasa sahaja sebab ada ujian atau tiada ujian, hidup ini tetap perlu diteruskan.
“Lagipun, ada malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat dosa dan pahala kita. Fikir begitu sajalah, “katanya.
Syed berkata demikian semasa ditemui dalam majlis pelancaran biskut Asyedap Salted Caramel di Bangi Golf Resort, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, ditanya mengenai strategi perniagaannya menerusi jualan biskut tersebut, Syed menepis andaian bahawa dia mengambil kesempatan ketika namanya menjadi isu hangat.
“Tak ada istilah ambil kesempatan. Sejak tahun 2017 lagi saya sudah menjual biskut sebab ibu dan keluarga jalankan perniagaan ini.
“Lagipun tak salah kita berkongsi rezeki dan saya juga positif sahaja untuk membantu orang lain contohnya kaum ibu dan suri rumah yang mahu jana pendapatan sampingan,”katanya.