KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Zul Arrifin menafikan khabar angin yang mendakwa dia menjadi punca hubungan pelakon Intan Najuwa dengan kekasihnya, Razrul Anwar Rusli, putus sekali lagi.
Menurut Zul, dia sebenarnya tidak tahu mengenai gosip yang bertebaran kerana tidak mengambil tahu mengenai perkara tersebut.
“Tak ada maknanya saya menjadi punca dia putus tunang.Macamlah saya ini tiada kerja lain nak buat.
“Dulu pun pernah juga orang kaitkan saya dengan dia sebab drama. Saya tak ada kena mengenalah!” katanya.
Zul berkata demikian ketika ditemui dalam majlis tayangan perdana telefilem Penunggang Agama terbitan Astro Shaw dan Skop Production di The Curve, hari ini.
Tambah Zul, dia tidak tersinggung dengan tuduhan atau gosip yang bertebaran kerana menganggap dirinya sering sahaja dikaitkan dengan sebarang isu sebelum ini.
“Tak ada apalah. Selalu sangat dikaitkan dengan macam-macam hal dalam hidup ini. Bukan kali pertama pun orang bercakap pasal saya, jadi, suka hatilah,” katanya.
Sebelum ini nama Zul pernah dikaitkan dengan Intan Najuwa ketika mereka bergandingan dalam drama berjudul Setelah Aku Dimiliki pada tahun 2019.
Terdahulu, hari ini, muncul satu kenyataan daripada Intan yang mengesahkan dia sudah lama berpisah dengan Razrul.
Difahamkan, Intan memuat naik kenyataan itu dalam Instagram bagi menjawab pertanyaan warganet berkenaan status hubungannya dengan Razrul menerusi ruangan Ask Me Question.
Intan dan Razrul bertunang pada 18 Ogos 2018 di Johor Darul Takzim namun berpisah pada Februari tahun lalu.
Kemudian pasangan itu dikatakan kembali bersama selepas Intan memuatnaik hantaran foto yang menunjukkan mereka kembali bersama di Instagram.