Tidak menduga minat bermain gitar yang pada awalnya hanya suka-suka, akhirnya bertukar membentuk kerjaya. Menelusuri zaman remaja di era kegemilangan muzik rock menjadikan figura ini nekad memasang impian. Walaupun sedar bakat yang ada tidak memadai, namun dia percaya ramai rakan taulan yang sedia membantu.
Selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1983, dia lantas mengasah bakat bermain gitar melalui tunjuk ajar bapa saudaranya, Rosli yang merupakan salah seorang anggota kumpulan rock terkenal, Meditasi.
Tidak hanya seorang guru, dia mengintai peluang lagi. Jac yang merupakan anggota kumpulan metal terkenal FTG menjadi mentor berikutnya. Yakin dirinya benar-benar mampu untuk berdiri di pentas, baharulah dia mengorak langkah mencipta identiti.
Bersama Mingguan Malaysia, anak seni yang cukup popular menempa nama bersama kumpulan rock Melissa, Kefli Ramli, atau nama glamornya Keff Melissa, berkongsi cerita perjalanan seninya bersama pembaca Khabar Legenda.
“Di kampung saya banyak mempelajari selok belok muzik rock ini dari teman-teman rapat, terutamanya daripada anggota Meditasi. Ketika itu saya sering menemani mereka membuat persembahan di merata tempat terutamanya di majlis kenduri kahwin.
“Bagaimanapun saya jarang sekali diberi peluang mempamerkan bakat. Jika ada pun hanya sekali sekala itu pun jika pemain gitar mereka, Rosli berhenti sebab keletihan,” ceritanya ketawa.
Pada 1986, Keff akhirnya menubuhkan sebuah kumpulan dan menyertai pertandingan Juara Rock Negeri Pahang, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila gagal meraih tempat terbaik. Akibat kegagalan tersebut, mereka akhirnya berpecah.
Tidak mengalah danpada bangkit sekali lagi, dia akhirnya menubuhkan kumpulan baharu yang dinamakan Melissa, hasil ilham bapa saudaranya, Rosli. Anggota kumpulan ini terdiri daripada anak jati Kuala Lipis yang mana kesemuanya mempunyai bakat bermain muzik.
“Seterusnya kami menyertai pertandingan Junior Rock yang diadakan di Semua House Kuala Lumpur. Alhamdulillah, Melissa berjaya dapat tempat kedua. Ketika itulah kami ditawarkan oleh syarikat rakaman Perdana Music Industry (PMI) untuk merakamkan album.
“Semangat untuk menjadi artis ketika itu cukup berkobar-kobar, namun kami tolak tawaran itu kerana tidak cukup yakin dengan syarikat tersebut. Maklumlah masa itu belum ada pengalaman. Risau kalau kena tipu,” ujarnya.
Setelah menolak tuah yang datang bergolek, Melissa sekali lagi berpecah. Kali ini vokalisnya, Harry dan pemain bassnya, Sazali menarik diri atas sebab tertentu.
Keff yang merupakan tunjang utama kumpulan tidak patah semangat. Ikhtiarnya untuk meneruskan legasi Melissa tetap menjadi keutamaan.
Melalui seorang rakan dia diperkenalkan dengan Ajax dan Radzi. Kagum melihat bakat yang ada pada mereka, dia lantas mempelawa mereka untuk menyertai kumpulannya.
Pakej lengkap yang dimiliki mereka akhirnya diintai syarikat rakaman Varia Music Productions yang berpangkalan di Singapura, sekali gus menawarkan mereka untuk merakamkan album.
“Kali ini kami tak tolak peluang. Terus setuju. Namun timbul pula masalah lain apabila tidak mampu mencipta lagu sendiri untuk album pertama itu. Puas cipta lagu sendiri, tetapi langsung tidak menjadi. Imej masing-masing dahsyat habis dengan dressing maut dan rambut panjangnya tapi bila buat lagu hampeh!”
“Saya jumpa Dino iaitu Pegawai Perhubungan Awam di syarikat rakaman ketika itu. Saya beritahu masalah kami. Dia cadangkan agar kami cari lagu daripada komposer lain. Yang bestnya, hampir 100 lagu kami dapat. Jadi kami pun pilihlah mana lagu terbaik, termasuklah lagu Cinta Untuk Nabila yang dicipta oleh Rosli Selasih,” katanya.
Sebaik selesai pemilihan lagu, timbul masalah baharu apabila mereka diminta mencari penerbit album pula.
Yang terbayang dalam radar ketika itu hanyalah nama-nama besar antaranya Sarwanie Wan Ahmad, anggota Sweet Charity.
Namun impian mereka tidak menjadi kenyataan apabila demo mereka ditolak. Buntu memikirkan tarikh yang semakin hampir untuk merakamkan album di Singapura akhirnya mereka menghubungi Rosli Selasih untuk membantu. Pelawaan mereka disambut dengan persetujuan
“Album pertama Melissa berjudul, Pendirian pada 1990 akhirnya siap dan dipasarkan. Lagu Cinta Untuk Nabila, Lambaian Sayonara dan Wajahmu Di mataku menjadi hits dan siulan buat rockers-rockers ketika itu.
“Banyak show yang kami terima di merata tempat. Melissa cepat dikenali dan sering terpampang di dada akhbar dan majalah. Saya tak nafikan ketika itu ramai peminat wanita yang mengutus surat kepada saya dan rakan-rakan sehinggakan ada ketikanya saya mendapat tiga karung besar surat peminat setiap minggu,” katanya.
Bergelar artis di era tersebut amat berbeza dengan hari ini. Walaupun mudah meniti populariti tetapi rumit untuk mencipta kesenangan. Walau tawaran persembahan banyak di merata tempat, namun imbuhan diterima cukup menyedihkan.
Ada ketikanya langsung tidak berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan. Demi minat diteruskan juga walau banyak terciptanya duka daripada gembira.
“Pernah sewaktu mengadakan persembahan di Batu Pahat, Johor penonton yang datang boleh dibilang dengan jari gara-gara hujan lebat. Setelah dibahagi, bayaran yang kami terima hanya RM5 seorang. Itu belum lagi tolak duit sewa van, makan minum dan sebagainya.
“Ada sekali ketika pulang daripada show, van yang kami naiki pancit. Bayangkan terpaksa ketuk pintu rumah orang kampung tengah-tengah malam buta sebab nak minta pertolongan. Kalau dikira memang banyak perkara sedih berbanding gembira untuk diceritakan,” katanya ketawa.
Membuat persembahan di funfair juga perlukan kesabaran. Walaupun persembahan dibanjiri ribuan penonton, namun belum tentu menjanjikan pulangan lumayan. Bayaran yang diterima cukup menyedihkan. Alasan yang sering diberi mereka, ramai peminat yang curi masuk tanpa membeli tiket.
“Nampak glamor tapi sebenarnya poket kosong. Memang tak boleh kaya pun. Bayangkan dah jadi artis tapi makan minum pun terpaksa awek belanja. Waktu itu sesiapa yang ada awek dikira cukup beruntung kerana merekalah tempat mengadu nasib ketika tengah sesak atau tak berduit.
“Bercerita pasal awek ni, saya ada pengalaman yang cukup lawak sebenarnya. Pernah seorang gadis mengutus surat kepada saya untuk berkenalan. Tetapi bukan sekadar dia saja yang kirim surat, rupa-rupanya adik lelaki dia pun hantar juga kepada saya kerana nak jadikan saya abang angkat. Lepas itu dalam diam emak dia pun hantar juga surat pada saya kerana nak berkenalan. Katanya raut wajah saya seiras macam muka bekas suaminya,” katanya ketawa
Menurut Keff, walaupun beberapa individu sudah meninggalkan Melissa, namun dia akan meneruskan legasi kumpulan ini bersama pemain drumnya, Ozzy. Tidak terburu-buru mencari pengganti, dia menegaskan calon-calon tersebut sudah ada dalam radarnya ketika ini.
“Insya-Allah selepas habis pandemik nanti saya bercadang teruskan persembahan seperti dirancang sebelum ini. Mungkin kami akan bermula di Kota Kinabalu, Sabah dan seterusnya menjelajah ke negeri-negeri lain di Semenanjung.”
“Kini saya lebih banyak menghabiskan masa merakam lagu-lagu untuk dimuatnaik dalam saluran YouTube. Sudah hampir 240 lagu saya rakamkan. Jika peminat nak tonton boleh sahaja pergi ke saluran YouTube saya, Keff Melissa. Pelbagai genre lagu saya sajikan untuk peminat,” katanya mengakhiri perbualan.