Angka 32, simbolik wang hantaran Risteena - Utusan Malaysia

Angka 32, simbolik wang hantaran Risteena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon drama Bulan Di Kota Langit, Isa Khan, 28, mendedahkan nilai wang hantaran kahwin berjumlah RM32,0000 adalah simbolik istimewa buat isterinya, pelakon Risteena Munim.

Menurut Isa atau nama sebenarnya, Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, jumlah itu sengaja diberikan seiring dengan usia Risteena yang kini mencecah angka 32 tahun.

“Sebenarnya itu juga adalah permintaan Risteena sejak kami sama-sama berbincang mengenai perancangan untuk berkahwin. Kebetulan, tahun ini usianya sudah mencecah 32 tahun.

“Jadi saya hanya ikutkan kemahuannya selain mengotakan janji,”katanya ketika ditemui dalam majlis resepsi bersama rakan media dan keluarga terdekat di Magica Events, Pusat Membeli Belah Quill City di ibu kota malam semalam.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pandangan segelintir pihak terutamanya warganet yang mempersoalkan keputusan mereka untuk tidak bernikah di Pejabat Agama pada tahun lalu, Risteena ada jawapannya.

“Boleh sahaja kami meneruskan hajat untuk disatukan mengikut perancangan asal pada tahun lalu walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlu mengikut prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan.

“Tetapi Isa, saya dan juga keluarga sudah ada perancangan lain. Buat apa nak ikut cakap orang lain? Niat untuk bernikah itu kami berdua bukan? 

“Kami pun tentulah tak mahu terlepas peluang untuk berkongsi momen manis bersama keluarga. Ternyata memang rezeki kami untuk mengadakan majlis sederhana ini selepas kerajaan melonggarkan syarat kawalan pergerakan,”katanya.

Melahirkan rasa syukur kerana majlis juga berjalan dengan lancar, Risteena dan Isa berharap semua pihak terutamanya peminat dapat mendoakan kebahagiaan mereka berdua dalam menjalani kehidupan baharu sebagai pasangan suami isteri.

Pasangan ini diijabkabulkan pada jam 10.30 pagi semalam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dengan dihadiri cuma seramai 15 orang ahli keluarga.

Pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang dari pihak lelaki selain menerima mas kahwin berjumlah RM1,000.

Menurut laporan sebelum ini, Risteena dan Isa merancang untuk bernikah pada tanggal 20 November lalu, namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum pulih.

Risteena dan Isa mengikat tali pertunangan pada 23 November 2019 di Bali, Indonesia setelah lima bulan berkenalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya