KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, 34, berpesan agar semua orang tidak lagi mempersoalkan hatinya samada sudah move on ataupun belum.
Meskipun sedikit berat untuk berkongsi, namun Amylea yang juga bekas peserta musim ketiga Akademi Fantasia (AF) berharap semoga dengan pesanan ini dapat memberi pencerahan kepada orang di luar sana.
Jelasnya, dia menghargai setiap nasihat dan pendapat namun ketika ini, apa yang diperlukan adalah sokongan serta doa daripasa semua pihak untuk kelangsungan hidup serta kerjayanya tanpa mengaitkan soal hati.
“Kita semua ada kelemahan dan perkara yang privasi itu akan terus kekal sebegitu. Saya bukan orang yang bodoh, saya boleh ikhlas dalam percintaan tapi bukannya bodoh. Ini adalah hak saya untuk ada rasa sayang, cinta dan setia kepada sesiapa.
“ Secara peribadinya, saya bangga kerana mempunyai cinta yang ikhlas. Saya bukanlah perempuan yang berpeleseran ataupun yang senang bertukar pasangan walaupun apa sahaja yang orang akan bayangkan.
“Jadi saya akan terus macam ini sahaja, sebab mempunyai seseorang dalam hidup untuk berkeluarga dan suami bukanlah segala-galanya sampai tahap untuk merampas sesiapa atau terdesak, saya bukan macam itu,” tuntasnya.
Tambah penyanyi Kendati itu lagi, dia kini bahagia seadanya dan giat dalam merencanakan karya-karya seterusnya.
“Apa yang saya lalui itu mungkin ada persamaan dengan cerita-cerita orang di luar sana namun tidak semestinya tepat. Berada di samping seseorang untuk 12 ke 13 tahun bukannya sesuatu yang boleh dilupakan sebegitu sahaja apatah lagi menggantikan dengan yang baharu. Jadi saya bangga yang saya tidak move on (tergelak kecil).
“Sekarang ini saya senang dan gembira dengan urusan kerja malah saya tidak hidup di masa lampau. Justeru itu saya harap benda ini dapat menyangkal orang lain punya tanggapan,” tambah Amylea.
Dalam perkembangan lain, single terbaharu berjudul Kendati yang dijadikan sebagai runut bunyi drama rantaian Takdir Yang Tertulis arahan Shahrulezad Mohameddin yang disiarkan slot Samarinda TV3 kini masih berada di carta popular YouTube. Secara tidak langsung, Kendati juga membuktikan Amylea terus selesa bekerjasama dengan syarikat produksi Radius One sejak 14 tahun lalu.
“Alhamdulillah saya tidak menyangka akan perkhabaran positif ini di mana, sejak 31 Januari lalu Kendati mula trending dua sehari selepas ia dilancarkan sehingga ke hari ini. Walaupun ada turun naik dalam carta tersebut tetapi saya sangat-sangat bersyukur dengan sokongan luar biasa yang saya terima daripada orang ramai, terima kasih,” ujarnya.