Terima ugutan bakar rambut - Shaza Bae - Utusan Malaysia

Terima ugutan bakar rambut – Shaza Bae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bahana membawa watak antagonis dalam drama popular berjudul Marry Me Senorita, pelakon dan pengacara, Shaza Bae, 26, mengaku menerima banyak kecaman termasuk ugutan daripada penonton dan warganet yang mengikuti naskhah arahan Nur Ain Sharif tersebut.

Menurut pelakon dengan nama sebenarnya ialah Shaza Nuriman Muhammad Zamri, ini merupakan kali pertama dia menerima reaksi sebegitu memandangkan sebelum ini tidak pernah menggalas watak antagonis.

“Sebelum ini biasa juga mendengar rakan-rakan artis yang membawakan watak jahat dikecam teruk gara-gara lakonan mereka. Tak sangka pula kali ini saya juga menerima reaksi yang sama.

“Ramai yang benci, marah, bengang sampai kata nak lempang muka. Ada juga yang ugut nak bakar rambut sebab kembang sangat katanya. Bila baca semua komen-komen itu, saya rasa kelakar pun ada,”katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Shaza, dia tidak mengambil hati dengan apa yang berlaku kerana baginya, itu menunjukkan lakonannya berjaya dan sebagai seorang pelakon, dia sepatutnya gembira mendapat reaksi seperti itu.

“Baguslah kalau dikecam. Saya lagi suka. Bayangkan kalau tiada reaksi daripada penonton sedangkan kita sudah mencuba yang terbaik semasa menzahirkan watak itu, ia lebih membimbangkan.

“Dibenci dan dikecam, itu adalah tanda aras untuk saya tahu bahawa watak yang dibawakan sampai kepada penonton.

“Lagipun, setakat ini kemarahan mereka itu masih tidak melampau lagi. Tak adalah sampai saya diugut bunuh,”katanya.

Menerusi Marry Me Senorita, Shaza menggalas tugas untuk melakonkan watak seorang wanita bernama Rossa.

Antara yang turut membintangi drama tersebut ialah Janna Nick, Dini Shcatzmann, Datuk Jalaluddin Hassan, Yasmin Hani, Raaj Azura, Meerqeen dan Daler Yusuf.

Shaza juga sebelum ini merupakan juara bagi program pencarian bakat popular, Dewi Remaja 2019/2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN