KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Syanie Hisham, 47, selamat diijabkabulkan dengan perunding kewangan, Zahiril Hafiz Mohammed Nor, 41, sekitar pukul 9 pagi tadi.
Majlis yang berlangsung dalam suasana ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu, hanya disaksikan bapa, adik perempuan Syanie dan abang kepada pengantin lelaki.
Pun begitu, tiada wang hantaran diserahkan, sebaliknya hanya mas kahwin dalam bentuk gelang emas.
Menerusi perkongsian gambar Thelane.my Syanie yang manis dalam persalinan Kay Ibrahim, dilihat menyarungkan cincin ke jari manis suaminya sebagai tanda termeterai ikatan.
“Alhamdulillah syukur majlis pagi tadi berjalan dengan sempurna seadanya. Tetapi untuk majlis resepsi yang sepatutnya diadakan pada 21 Februari ini ditunda dulu sebab Perintah Kawalan Pergerakan, mungkin bulan depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bercakap soal hati selepas dua kali perkahwinan yang dibina runtuh, Syanie akui tidak mudah untuknya membuka jendela hati namun oleh kerana keikhlasan dan kejujuran hatinya buat Syanie kembali menikmati kemanisan ini.
“Kalau diimbas semula cerita perkenalan kami ini sekitar tuga tahun lalu, dia yang mula mendekati saya tapi waktu itu saya belum terfikir pun nak cari pengganti.
“Iyalah pengajaran lalu kata orang mematangkan saya. Tetapi setahun lalu, dia memang bersungguh-sungguh mahu memancing hati saya. Lalu pada Jun tahun lalu, dia suarakan isi hati kepada ibu untuk memperisterikan saya.
“Sikap budimannya jugalah buat saya tersentuh. Dia menjadi lelaki pertama yang berani cakap nak kahwin dengan saya dekat ibu,” katanya yang sudah berkenalan dengan suami setahun lalu.
Tambah Syanie lagi yang sebelum ini sudah lima tahun hidup solo, suaminya juga adalah seorang duda.
“Mungkin masing-masing tahu kehidupan lampau apa yang telah kami lalui. Jadi mungkin itu yang buat kami jadi serasi,” katanya dengan nada gembira.
Untuk rekod, bekas peserta MasterChef Selebriti musim kedua itu mendirikan rumah tangga 1996 dan bercerai pada 2002. Manakala perkahwinan kedua, pada 1 Mac 2014, namun berpisah pada 2016.