Saya dah cerai, kenapa marah-marah? - Elly Ariffin - Utusan Malaysia

Saya dah cerai, kenapa marah-marah? – Elly Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, pengacara dan selebriti media sosial, Elly Ariffin, 32, mengaku walaupun sudah setahun bercerai dengan bekas suaminya sehingga kini masih ramai yang keliru dengan status sebenar dirinya.

Kembali solo selepas bercerai dengan pelawak, Jiggy pada 30 Januari tahun lalu, Elly tidak menyangka sikapnya tidak terlalu mencanang perkara peribadi telah menyebabkan berlakunya salah faham ramai yang menganggap dia masih lagi memegang status isteri orang.

“Saya bukan lagi isteri orang dan perkara ini sudah dinyatakan sejak setahun lalu. Barangkali ketika perceraian itu terjadi, ramai yang sedang panik dengan pandemik Covid-19 dan negara pula sedang menerima perubahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun berita mengenai perceraian saya ada diterbitkan dalam ruangan akhbar dan media massa lain, ia bagaimanapun tidak disedari kerana orang ramai sedang kalut dengan isu lain yang lebih besar,”katanya.

Elly berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia selepas dia dilihat memuat naik kenyataan dan gambar-gambar berita berkaitan perceraiannya dengan pelawak tersebut untuk membuat penjelasan lain.

Menurut bekas pengacara HLive, Astro ini, dia merasa hairan apabila ada yang mempertikaikan dirinya berkawan dengan mana-mana lelaki lain termasuk dituduh dan ditegur berkali-kali oleh warganet kerana gagal menjaga hadnya sebagai isteri orang.

“Kenapa nak marah-marah? Saya sudah lama bercerai dan tidak salah pun berkawan dengan orang lain. Perkara ini sudah sering dijawab oleh saya apabila ada yang bertanya, tetapi masih juga ada yang keliru.

“Lama-lama timbul juga rasa bengang sebab perkara yang sama ditanya berulang-ulang. Saya harap selepas ini tidak ada lagi yang membangkitkan isu ini,”katanya.

Dalam pada itu, Elly mengaku dia selesa berkawan dengan sesiapa sahaja dan belum ada lelaki istimewa yang menemani hidupnya kini.

Elly dan Jiggy mendirikan rumah tangga pada 9 November 2016 selepas empat tahun bercinta.

Sepanjang hidup sebagai suami isteri, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata, namun Elly pernah mengalami keguguran pada September 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya