Santau? Saya serah pada Allah SWT - Sam - Utusan Malaysia

Santau? Saya serah pada Allah SWT – Sam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR : Pelakon dan usahawan popular, Shaheizy Sam, 39, tidak menolak perbuatan jahat menggunakan ilmu hitam seperti santau itu wujud dan kebiasaannya dilakukan oleh mereka yang tidak senang atau cemburu dengan kejayaan seseorang individu.

Tidak menjurus kepada masyarakat Melayu sahaja, bagi pelakon filem Polis Evo ini, dia melihat perbuatan terkutuk itu dilakukan dengan tidak mengira sesiapa namun sebagai umat Islam, setiap individu wajar berserah kepada Allah SWT seandainya menjadi mangsa.

“Sejak zaman dulu lagi perkara ini sudah terjadi tetapi sebagai Muslim, kita kena wajib percaya pada perkara ghaib, lagipun, tidak semua dalam hidup ini putih. Pasti akan ada hitamnya, tambah-tambah lagi dalam dunia perniagaan yang sentiasa ada persaingan.

“Sewaktu memenangi Anugerah Bintang Popular pada tahun 2015, saya pernah ditanya sama ada risau tak dengan orang sekeliling yang mungkin cemburu dengan kejayaan saya. Ada yang pernah mencadangkan untuk memakai pendinding kalau-kalau saya mungkin akan jadi sasaran ilmu hitam.

“Tetapi bagi saya, Allah SWT itu lebih tahu. Serah sahaja kepada Dia sebab kita tak kacau orang, kita tak aniaya orang. Dia pasti akan lindungi hambaNya,”katanya.

Sam berkata demikian ketika diminta untuk memberikan pandangan mengenai pelakon Aeril Zafriel dan keluarganya yang baru-baru ini mengaku terkena santau oleh individu misteri.

Selain Aeril, semalam, penyanyi rap dan usahawan muda, Caprice juga mendedahkan dia diganggu individu yang didakwa merupakan seorang bomoh dalam cubaan menghantar ilmu santau kepadanya menerusi panggilan telefon.

Menurut Sam, meskipun perkara sebegitu tidak berlaku pada dirinya, tetapi setiap manusia harus berhati-hati dengan setiap tingkah laku kerana adakalanya musuh datangnya daripada orang yang terdekat dengan diri.

“Ikhtiarlah pada jalan yang betul. Ingat Allah SWT sentiasa bersama dengan orang teraniaya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya