Karyawan didakwa fitnah, PPM ambil tindakan - Utusan Malaysia

Karyawan didakwa fitnah, PPM ambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Public Performance Malaysia (PPM) mendedahkan pihaknya telah menyerahkan penyataan tuntutan ke atas Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) termasuk kepada Pengerusinya, Freddie Fernandez kerana didakwa telah melakukan fitnah.

Menurut Pengerusi PPM, Rosmin Hashim dalam satu kenyataan, pihaknya telah menghantar tuntutan tersebut pada 12 Januari lalu selain mengeluarkan beberapa kenyataan media bertarikh 13 Oktober 2020 dan 10 November 2020 untuk membetulkan tuduhan yang dibuat oleh Freddie.

“Freddie pada 3 Oktober 2020, 6 Oktober 2020 dan 26 Oktober 2020 telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap PPM yang dikeluarkan di beberapa media cetak, online dan juga pelantar media sosial.

“Berikutan itu, PPM telah mengeluarkan surat tuntutan kepada pihak Karyawan dan Freddie agar permohonan maaf dibuat secara terbuka, menarik balik kenyataan fitnah yang telah dibuat dan menghentikan penyebaran seterusnya kenyataan fitnah terhadap PPM,”katanya.

Menurut Rosmin, bagaimanapun dia melihat Karyawan dan Freddie enggan berbuat demikian dan ia tentunya amat mengecewakan kerana mereka didakwa seakan sengaja serta berulang kali membuat dan mengakibatkan pengeluaran artikel dan kenyataan yang tidak benar.

“Adalah mendukacitakan walaupun pelbagai usaha dibuat pihak PPM untuk menegakkan kebenaran menerusi kenyataan balas media, namun Freddie dan Karyawan berterusan memfitnah PPM, menjadikan kami tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang di atas kenyataan fitnah tersebut,”katanya.

“Kenyataan fitnah ini dikeluarkan pada saat paling buruk, di mana seluruh industri muzik dan negara bergelut dengan cabaran untuk mengatasi kesan pandemik yang telah memberi kesan kepada semua sektor ekonomi negara dan menjejaskan punca pendapatan ramai penggiat seni muzik tanah air termasuk komposer, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dan syarikat rakaman,”katanya.

Kata Rosmin, kenyataan fitnah yang dibuat oleh Karyawan dan Freddie juga telah mengakibatkan gangguan kepada aktiviti pelesenan kami dan menyukarkan lagi kerja kami untuk mengutip yuran pelesenan bagi pihak ahli-ahli kami dalam persekitaran pasaran yang amat mencabar.

Dalam pada itu, selain daripada mengambil tindakan sivil, PPM juga telah membuat laporan polis terhadap Karyawan dan Freddie Fernandez atas kesalahan jenayah fitnah serta membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan menyalahguna internet untuk menghasil dan menyebar komen dan berita palsu dengan niat untuk mengganggu PPM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya