Fariz Kamil menghidupkan semula lagu nostalgia - Utusan Malaysia

Fariz Kamil menghidupkan semula lagu nostalgia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lagu bergenre pop dan R&B berjiwa moden dan rancak kini menjadi pilihan generasi muzik. Namun begitu, ia tidak bermakna muzik crooner ala-ala lagu nostalgia dengan konsep pop dan balada seperti lagu lama akan mati ditelan zaman. Antara contoh lagu seperti itu adalah lagu nyanyian Datuk M. Nasir Mohamed iaitu Suatu Masa.
Suaranya yang dalam dan lirik lagu serta melodi yang baik mampu membuat orang ramai merasakan nostalgia mengingati kembali memori yang ada dalam kehidupan masing-masing.
Impak yang begitulah diimpikan oleh pendatang baharu dalam industri nyanyian tanah air ini iaitu Fariz Kamil.
Meminati muzik bergenre balada dan pop, Fariz menjadikan misinya untuk melangkah kaki ke dalam dunia nyanyian dengan mengekalkan lagu konsep sebegitu.
Oleh itu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu telah muncul dengan lagu berjudul Terluka yang merupakan single pertama nyanyiannya.
Setelah menyertai syarikat rakaman Moro Records, jejaka bersuara jantan itu menyanyikan lagu hasil ciptaan artis dan komposer terkenal iaitu Art Fazil.
“Tidak ramai penyanyi baru masa kini yang mempunyai suara jantan. Kami sengaja merakam Fariz dan melawan arus masa kini kerana dia mempunyai potensi besar untuk menjadi penyanyi terkenal.
“Saya meminati penyanyi legenda Indonesia, Broery Marantika dan suara Fariz ada potensi untuk menyanyikan lagu-lagu ala crooner dengan baik seperti Broery,” jelas Art.
Lagu yang mengisahkan tentang kedukaan yang dialami seseorang yang ditinggalkan kekasih itu mendapat air tangan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air iaitu, Eddie Marzuki, Addy Cradle, dan Ujang Exist.
Jejaka berusia 29 tahun itu mula menarik perhatian Art Fazil apabila dirinya sedang rancak menyanyi lagu karaoke di Uptown Kota Damansara.
“Semasa hanya mendengar suara, saya dan rakan-rakan menyangka orang tua yang menyanyi lagu Datuk M.Nasir itu. Tetapi, rupa-rupanya suara seorang anak muda, lantas kami semua terpegun mendengar suaranya.
“Dari situ, kami berkenalan dengannya dan menawarkan kontrak rakaman. Walaupun baharu dalam bidang ini, semasa penggambaran muzik video kami dapati Fariz juga mempunyai bakat berlakon yang boleh digilap. Dia ialah seorang bakat baru yang berpotensi untuk menjadi terkenal,” tambah Art Fazil.
Fariz berharap suatu hari nanti dirinya mampu menjadi seperti penyanyi-penyanyi terdahulu yang mana lagu mereka kekal hingga ke hari ini.
Graduan Universiti Islam Antarabangsa itu telah diberi peluang untuk menyanyikan lagu itu dengan gayanya tersendiri.
Jadi, saksikan kebolehan anak muda itu di dalam Muzik video rasmi berdurasi tiga minit 42 saat yang boleh ditonton dalam laman YouTube Mororecs. – Artis Baharu, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya