INI bukan kisah kayangan anak pemuzik yang dimanjakan dengan set piano dan kelas muzik klasik sejak kecil.
Ini kisah sekumpulan ‘budak flat’ yang mewarisi darah seniman dalam keluarga namun tetap melalui jerih payah perjalanan membentuk kugiran.
Escape Plan ada cerita mereka sendiri dan mereka boleh berbangga dengan cerita itu.
Ash, individu yang bertanggungjawab mengasaskan kugiran itu ialah anak kepada vokalis kumpulan rock era 90-an. Bapanya mungkin kurang dikenali kerana kugirannya hanya bertahan beberapa tahun dalam industri.
Nama bapa Ayen pula lebih besar. Saya yakin, kalau sebut nama kugiran bapanya, majoriti pembaca akan kenal. Kugiran itu dengan mudah menduduki senarai tiga kugiran rock terhebat dalam sejarah Malaysia pilihan kebanyakan orang.
Namun, Escape Plan tidak naik kerana menumpang nama bapa masing-masing. Pengaruh daripada bapa Ash dan Ayen hanyalah dari segi darah seni yang mengalir dan mungkin beberapa nasihat yang mereka pegang sebagai pedoman.
Sebab itu juga saya tidak mahu dedahkan siapa bapa mereka. Saya mahu buktikan, empat anak muda ini mampu berjaya tanpa saya menjual nama bapa mereka.
Selain Ash yang bertindak sebagai vokalis dan gitaris serta Ayen sebagai pemain dram, Escape Plan turut dianggotai Edy (gitaris) dan Ety (bass).
Ash, Edy dan Ety ialah anggota asal kugiran ini ketika mereka mula bermain di gig kecil dan pertandingan-pertandingan pada 2015. Ayen pula anggota baharu yang direkrut tahun lalu.
Mereka berjaya mencipta nama melalui beberapa lagu yang dijadikan runut bunyi dalam telefilem dan drama popular di televisyen. Antara yang paling popular ialah Yang Terindah yang dijadikan runut bunyi telefilem Misteri Maria dan drama bersiri Andainya Takdir 2.
Satu lagi lagu mereka, Gadis turut terpilih sebagai runut bunyi untuk telefilem 14 hari.
Bagi Ash, mereka gembira dengan perhatian yang diberikan peminat terhadap hasil karya mereka, namun masih ada yang mahu dikejar kugiran itu.
Mereka kini dalam proses menyiapkan album sulung. Rancangannya, mereka mahu masukkan 10 lagu dalam album tersebut.
Cabaran bagi Escape Plan mungkin untuk membina identiti yang boleh diingati peminat. Melihat kepada rilisan-rilisan mereka sebelum ini, ia agak bercampur dan tiada genre tetap.
Contohnya untuk Yang Terindah, mereka menampilkan bunyi balada rock moden yang memang sesuai dengan cita rasa massa ketika ini. Namun, mereka juga ada menghasilkan lagu hardrock yang pastinya sukar menjengah masuk senarai main radio, iaitu Escape Tonight yang menampilkan Ash daripada Massacre Conspiracy.
Walau bagaimanapun, versatiliti itu boleh juga menjadi kelebihan buat mereka menarik lebih ramai pendengar.
Ia terpulang kepada nasib dan peluang yang muncul sebenarnya. Jika mereka berjaya merebut peluang untuk mempromosikan karya kepada pendengar yang lebih ramai, potensi untuk menjadi terkenal itu ada.
Perbualan kami juga mudah berlangsung mesra kerana rata-rata anggota kumpulan ini hidup ‘sezaman’ dengan saya. Apabila bercerita tentang kugiran-kugiran yang menjadi rujukan, saya boleh ‘relate’.
Nama seperti Bunkface, Green Day, 30 Seconds To Mars dan Hujan memang menjadi halwa telinga kami dahulu hasil pengaruh radio serta rancangan muzik dalam televisyen.
Pengaruh-pengaruh itu yang menghasilkan kimia dalam hubungan keempat-empat mereka dan membentuk keserasian dalam kugiran.
Sebagai kugiran versatil, Escape Plan punya banyak jalan yang boleh dipilih. Mahu mendaki tangga perlahan-lahan sebagai kugiran independen mereka boleh, mahu luaskan spektrum pendengar dengan bantuan label rakaman pun mereka boleh.
Yang saya pasti, jika usaha mereka konsisten dan gigih, ada tempat dalam industri ini untuk mereka. – Mingguan Malaysia