KUALA LUMPUR: Kebanjiran kisah kecurangan pasangan di laman sosial bagaikan menjadi tuah buat penyanyi baharu, Aliff Iskandar apabila lagunya berjudul Perit menjadi pilihan kini.
Jelasnya ramai pendengar lagu ini juga turut menjadikan Perit sebagai ‘lagu tema’ bagi mereka yang putus cinta, dicurangi dan berhadapan dengan apa sahaja masalah perhubungan.
“Terima kasih sebab memberikan sokongan kepada lagu ini. Saya tak sangka, sejak dilancarkan tiga bulan yang lalu, Perit benar-benar diterima baik daripada peminat. Orang pun makin kenal dengan lagu ini.
“Apabila lirik tersebut dekat dengan pendengar, mereka mudah menerimanya. Ada yang bagaikan pernah berhadapan dengan situasi tersebut dan tak kurang juga yang meninggalkan pelbagai komen tentang pengalaman mereka dalam video muzik berkenaan,” katanya.
Turut dijadikan runut bunyi untuk drama Perempuan Tanpa Dosa, Aliff cukup menghargai sokongan yang diberikan selain turut simpati dengan mereka yang berkongsi pelbagai kisah sedih dalam hubungan.
“Saya baca setiap komen yang mereka titipkan. Macam-macam kisah dan pengalaman dikongsikan. Mana yang tragis tu, saya bersimpati sangat-sangat,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Aliff kini turut menjadi rebutan beberapa pihak yang mahukan khidmatnya sebagai pencipta lagu. Mengakui terharu, tambahnya permintaan yang hadir itu juga datang daripada pihak produksi drama dan beberapa artis popular tanah air.
“Memang ada beberapa pihak yang sudah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya termasuklah mengasilkan runut bunyi dan sebagainya. Sudah pasti sebagai seorang pencipta baharu, saya amat hargainya.
“Bila ada yang percaya kepada hasil karya saya, tiada apa kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan ini. Semoga apa yang dirancang akan tertunai sedikit masa lagi.
“Setakat ini semuanya masih dalam perancangan. Andai kata semuanya berjalan lancer seperti yang dirancang, saya akan kongsikan kepada semua,” kata penyanyi kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini lagi.