Trilogi cinta Aziem, Hasha dan Heidi - Utusan Malaysia

Trilogi cinta Aziem, Hasha dan Heidi

Hasha Roslan (kiri), Heidi Moru (duduk) dan Aziem Rashidi - MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK memahat nama dalam industri muzik kini bukanlah mudah. Namun dengan keunikan, potensi untuk menonjol akan lebih tinggi.
Keunikan boleh menjadi senjata utama trio Aziem Rashidi, Hasha Roslan dan Heidi Moru yang sebelum ini tampil dengan lagu Jika Ini Yang Terbaik.
Namun, jangan terkeliru. Trio ini bukanlah sekumpulan penyanyi vokal harmoni seperti KRU atau 3 Suara.
Hasha dan Heidi adalah dua penyanyi yang meminjamkan keindahan vokal untuk lagu ciptaan Aziem.
Jika Ini Yang Terbaik berjaya mengangkat nama ketiga-tiga mereka apabila berjaya ke peringkat akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 selain lagu itu terpilih menjadi runut bunyi untuk drama bersiri Lelaki Lingkungan Tuhan.
Tidak mahu berhenti hanya di situ, kolaborasi tiga jiwa itu kini dalam proses menghasilkan dua lagi lagu untuk melengkapkan trilogi kisah cinta yang diakhiri dengan Jika Ini Yang Terbaik.
Ini bermakna dalam beberapa bulan ini, para peminat akan mengetahui apa kisah di sebalik perpisahan dua jiwa yang didendangkan dalam lagu tersebut.
“Jika Ini Yang Terbaik adalah bahagian ketiga. Selepas ini kami akan lancarkan sama ada bahagian pertama atau kedua.
“Kami guna konsep prekuel. Sekarang, orang tahu yang dua insan ini sudah berpisah. Lagu seterusnya akan ceritakan pula kenapa mereka berpisah dan apa yang terjadi sebelum ini,” kata Aziem yang bertindak sebagai komposer dan penulis lirik untuk trilogi tersebut.
Untuk dua lagi lagu tersebut, Hasha dan Heidi akan menyanyikannya secara berasingan untuk membawa perspektif berbeza kedua-dua watak yang terlibat dalam kisah itu.
Konsepnya juga masih sama, dengan bunyian mellow sendu inspirasi pengkarya dari Indonesia seperti Banda Neira dan Pidi Baiq.
Bagi Hasha dan Heidi, Jika Ini Yang Terbaik berjaya memperkenalkan nama mereka kepada lebih ramai peminat muzik Malaysia.
Lebih-lebih lagi buat Hasha memandangkan lagu itu merupakan single rasmi pertamanya.
“Saya sekarang dalam proses untuk melancarkan beberapa lagu lagi. Sepatutnya lagu-lagu ini dilancarkan tahun lalu tetapi kerana pandemik, ia terpaksa ditangguhkan ke tahun ini,” katanya yang juga merupakan seorang pendidik.
Heidi pula sudah terlebih dahulu dikenali sebagai naib juara pertandingan Bintang RTM 2018 dan telah melahirkan sebuah single sebelum ini, Kata Hati.
Namanya juga disebut-sebut sebagai penyanyi yang mempunyai karakter vokal unik apabila berkolaborasi bersama AG Coco dan pemuzik lain dalam program Muzik Dari Rumah.
Jika Ini Yang Terbaik boleh didengari di semua platform strim muzik dan video liriknya boleh ditonton di Youtube. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya