TIDAK dinafikan, kehadirannya masih terlalu baru dalam industri hiburan untuk lekas tertangkap lalu diingati.
Bahkan, untuk benar-benar memastikan namanya mampu berada setanding dengan penyanyi rap lain, Abubakarxli perlu bekerja keras di luar zon selesa agar dia tidak hadir cuma untuk meramaikan ‘majlis’ sahaja umpamanya.
Tetapi, melihat kepada percaturannya menghasilkan lagu dengan bait-bait lirik yang teramat santai atau boleh dikatakan terlalu berbahasa pasar, Abubakarxli benar-benar layakkah untuk bergelar anak seni?
Mengakui dia sengaja berbuat begitu, penyanyi berusia 24 tahun ini menganggap ia adalah apa yang dimahukan oleh pendengar generasi milenial dalam aliran arus perdana kini.
Tambahan pula, baginya, buat apa menjadi yang biasa-biasa jika dia mampu menukarkan diri menjadi penyanyi yang berbeza daripada norma.
“Memang kita boleh merumitkan sesebuah lagu itu dengan pengisian lirik yang berat. Tetapi, siapa pula yang akan buat lagu lirik pasar kalau bukan saya?” katanya.
Mengaku boleh sahaja dia menghasilkan lagu sebagaimana yang diminta, sebagaimana yang pendengar suka.
Namun, kata Abubakarxli, dia juga berhak untuk menghasilkan sesebuah lagu itu mengikut kesukaannya juga.
“Kebanyakan karya yang saya hasilkan memang kedengaran agak ringan sehingga orang fikir prosesnya seakan main hentam sahaja.
“Tetapi tidak. Prosesnya tetap sama macam mana-mana lagu lain dan ada cabarannya. Cuma liriknya lebih bersifat spontan mengikut ilham yang saya dapat ketika itu.
“Kalau ada yang tak suka, itu terpulang. Telinga masing-masing yang mendengar dan menilai,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata anak keempat daripada lima beradik ini, dia juga tidak menganggap dirinya seorang penyanyi lantaran memilih dunia rap sebagai cabang kerjaya seninya.
Maka, jangan ada yang cuba menilai cara persembahannya pula kerana Abubakarxli sudah awal-awal menjelaskan kedudukannya.
Mengaku pernah ditanya mengenai perkara tersebut sebelum ini, kata anak jati Ipoh, Perak ini dia tidak berkecil hati andai ada yang mengecam dia lebih banyak menggunakan mesin atau auto tune untuk suara.
“Ini kerana auto tune bagi saya juga adalah satu seni. Ada orang boleh menyanyi tetapi sengaja meletakkan auto tune pada suara bagi mengikut kehendak bunyi sesebuah lagu itu.
“Walaupun auto tune, tetapi ia tak mudah juga sebab perlu dilakukan dengan elok. Saya pun memang tak anggap diri sebagai penyanyi, tetapi lebih kepada penyanyi rap.
“Kena ikut zaman. Mungkin rap lebih mudah diterima pada masa sekarang,” katanya.
Album? Nanti dulu
Ditanya mengenai perancangannya untuk menghasilkan album, Abubakarxli meski sudah memiliki ratusan karya lagu dalam simpanan mengaku dia belum lagi berani untuk memasang hajat itu.
Lebih selesa untuk muncul dengan single demi single, jejaka ini mahu menjadikannya sebuah koleksi terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai album.
“Memanglah dalam simpanan saya sudah ada ratusan lagu dengan yang sudah diterbitkan ada dalam sekitar 20 buah.
“Tetapi kalau cakap pasal album, belum berani lagi rasanya. Satu daripada sebabnya saya tidak mempunyai banyak single.
“Kedua, saya punya angan-angan nak jadikan album sendiri sebagai sebuah penghasilan yang evergreen. Orang akan pandang ia sebagai satu ukuran sebab itulah saya mahu lebih serius untuk album,” katanya yang melancarkan E.P berjudul Exacli terbitan Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia. – Pancaindera