Gali akar Malaysia - Utusan Malaysia

Gali akar Malaysia

Monoloque dan Kimal - MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu ini saya habiskan banyak masa memilih lagu-lagu yang ingin dimasukkan dalam senarai main Spotify yang saya bikin untuk 2021.
Setakat ini, artis yang mendominasi senarai main itu ialah Sang Rawi.
Sang Rawi menarik kerana hampir semua lagunya mampu membuatkan saya mengembara ke masa silam. Ada kalanya terbit suasana Tanah Melayu klasik seperti dalam filem Puteri Gunung Ledang, ada masa muncul ingatan menikmati lagu-lagu Yasin ketika zaman kemuncaknya.
Begitu juga dengan sebuah kugiran yang diberi nama Langkasuka. Setakat ini saya baru bertemu dua lagu mereka, Langkasuka dan Sang Biru. Kedua-duanya punya jiwa klasik yang tebal sehingga mampu menerbangkan kita keluar daripada realiti, kembali ke zaman silam.
Itu belum jika kita menggali karya Monoloque yang berjaya menggabungkan kehalusan kata warisan Melayu dengan bunyian moden serta bising. Yang benar-benar menggali pasti kagum kerana Loque membandung warisan lama yang hampir pupus dengan bunyian masa kini yang juga asing buat telinga massa di Malaysia.
Ketiga-tiga kugiran ini mengajarkan kita satu hal bahawa jika kita faham dan kenal akar budaya, ia boleh tumbuh dalam pelbagai bentuk dan gaya.
Kita tidak akan fikir mereka ini kugiran tahun 80-an, 60-an atau lebih jauh lagi sekumpulan pemain muzik pemuzik dari Melaka pada abad ke-16. Mereka berjaya menggenggam identiti budaya yang telah berakar lama tetapi disampaikan dengan cara yang moden.

Kocak lopak
Namun, harus diingat, budaya warisan Malaysia ini bukan sahaja Melayu klasik. Sudah berkurun tanah ini menyambut kemasukan budaya luar yang teradaptasi menjadi identiti rakyat negara ini.
Itu yang saya rasa apabila mendengar Sang Rawi dan Langkasuka. Sang Rawi ada sedikit pengaruh Arab, Langkasuka turut menyuntik elemen muzik Barat sedikit-sebanyak dalam muzik mereka. Monoloque lebih kuat Melayunya.
Itulah tentang budaya: ia abstrak dan tiada bentuk tetap. Ia selopak air yang dikocak; segala kotoran dan debu ber­bandung.
Malaysia adalah rojak. Dari segi bahasa sendiri, kita terbuka meminjam perkataan luar sehingga sangat sedikit perkataan asal Melayu yang boleh ditemui. Yang penting, kita meminjam tanpa meninggalkan asasnya.
Itu yang dilakukan para pembikin muzik di negara ini sejak lama dahulu. Perhatikan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pekat pengaruh bunyian Barat tetapi lenggoknya tetap Melayu. Ia diikuti wira muzik kita di era 60-an yang penam­pilannya saling tak tumpah seperti The Beatles namun lontaran vokalnya gaya Melayu.

Yang bising dan
yang damai
Dahulu dunia lebih senyap. Yang banyak menyumbang kepada kebisingan pada zaman ini adalah mesin-mesin. Ketika dunia belum kenal mesin, persekitaran lebih senyap dan damai.
Kebisingan adalah identiti zaman kini. Saya menganggap bunyi enjin kenderaan adalah bunyi alam. Kebisingan ini juga perlu kita rangkul walaupun kono­tasinya negatif.
Sebab itu saya kagum pada Monoloque. Projek Selamatkan Legasi contohnya, dia berjaya menggabungkan kehalusan seni kata dan melodi tradisional dengan kebisingan. Noise dan distortion menjadi wakil zaman kini manakala lenggok nyanyian Kimal dan ketukan gamelan adalah memori masa lalu.
Baik bising atau damai, semuanya perlu diraikan. Ini inti perkara terakhir yang saya mahu sampaikan dalam artikel ini.
Walaupun saya memuji kugiran-kugiran di atas dengan melangit, bukanlah bermakna saya menolak karya-karya artis lain.
Kerana – saya ulang- Malaysia adalah rojak. Bunyi Malaysia boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Yang ditekankan adalah akarnya. Tumbuhlah bagaimana rupa pokoknya, asalkan akarnya Malaysia.
Identiti Malaysia boleh hadir dalam apa jua bentuk. Ia ada dalam bentakan folk Azmyl Yunor; ada dalam jeritan Sekumpulan Orang Gila.
Saya menulis artikel ini kerana saya percaya, senjata untuk muzik kita mengembara lebih jauh adalah identiti Malaysia. Jika artis Malaysia berjaya menyelitkan identiti tanah air dalam karya mereka, ia pasti lebih menarik di mata orang asing. – Rondivu, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya