Didih darah muda - Utusan Malaysia

Didih darah muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH lama kita tidak berjumpa kugiran yang dibarisi anak muda pada peringkat remaja. Yang terakhir mungkin Kristal dan sebelumnya Exist. Ini yang popular.
Pada Separuh Akhir ketiga Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020, ramai mula sedar kewujudan sebuah kugiran ini. Mereka membuka separuh akhir tersebut dengan persembahan yang mengujakan.
Ramai mula menyebut nama BanyakBunyikRepublik selepas itu. Sekumpulan pemuzik muda dengan seragam sekolah, memainkan muzik lakuran (fusion) pelbagai genre dengan asas jazz yang bertenaga.
Namun, ALI2020 bukanlah detik kelahiran kugiran ini. Mereka wujud secara rasmi pada 2018 apabila menyertai pertandingan Festival Seni dan Budaya Belia Antarabangsa (IYCAF) . Melalui pertandingan tersebut, mereka mula mengenali beberapa nama penting dalam industri muzik dan mengumpul semangat untuk bergerak sebagai sebuah kugiran.
Pada tahun tersebut, kesemua mereka masih bergelar pelajar di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (Ssemkl).
Malah, sebelum menyertai ALI2020 lagi, mereka telah mencipta nama dengan bergelar pemenang bersama untuk Festival Jazz Borneo 2019 dan membuat persembahan di kelab jazz berprestij di Kuala Lumpur, No Black Tie.
“Titik tolak mereka serius sebagai sebuah kugiran selepas Festival Jazz Borneo. Waktu itu lagu pertama kami, Sembunyikan dicipta. Berjaya mara ke peringkat akhir dan hakimnya salah seorang ialah Michael Veerapen.
“Bayangkan paniknya mereka waktu itu,” kongsi Ariff, pengurus kepada kugiran ini.
Pendek kata, sekumpulan 11 pemuzik muda ini bukan calang-calang. Dengan bakat dan pengetahuan muzik yang mereka ada, sempadan potensi mereka terletak di langit.
Mereka telah menghasilkan sebuah EP, Sembunyikan yang dilancarkan pada 2019 mengandungi lima lagu termasuk rendisi berbeza untuk Sembunyikan.
Kini mereka dalam proses untuk melancarkan sebuah album 10 lagu berjudul Bayu.
Album itu lebih besar visinya dengan lakuran muzik yang lebih pelbagai. Mereka mahu meneroka lebih banyak bunyi, antaranya hip hop, klasik, opera, broadway, funk malah metal yang akan dilakur dengan sebatian jazz sebagai teras utama.
“Kami akui visi muzik kami mungkin tidak popular dalam kalangan pendengar Malaysia tapi apa yang kugiran ini lakukan kerana minat yang mendalam terhadap muzik,” kata Ariff.
BanyakBunyikRepublik sangat beruntung kerana dikelilingi figura-figura besar yang banyak membantu perjalanan muzik mereka.
Antara yang rapat dengan kugiran ini adalah beberapa anggota SalamMusik seperti Payung dan Atjap yang terlibat secara langsung dalam pembikinan album mereka. Mereka ada sekumpulan ‘abang besar’ yang menjadi rujukan iaitu Budak Nakal Hujung Simpang. Noh Salleh dan Raja Nazrin Shah juga antara yang banyak membimbing dan membantu mereka.
Mudahnya, mereka sekumpulan pemuzik muda berpotensi besar yang berada dalam persekitaran penuh produktif. Landasannya jelas menuju kegemilangan, hanya tinggal di pihak mereka, mampu atau tidak kekal berada dalam landasan hingga ke garisan penamat.
Mungkin nasihat paling baik boleh diberikan kepada mereka adalah menjaga tiga perkara yang disifatkan Jijo Alfonso Pereira Abdullah sebagai perkara yang menjatuhkan negara, iaitu tidak menepati masa (disiplin), rasuah (wang) dan chinggey (nafsu dan isu peribadi).
Sebahagian mereka kini tidak lagi bergelar pelajar sekolah tetapi terus menyambung pelajaran dalam bidang seni dengan empat daripada mereka di Universiti Teknologi Mara (UiTM), seorang di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), seorang di Akademi KRU dan selebihnya masih di peringkat sekolah.
Mereka juga dalam perancangan untuk meneruskan jelajah yang tertangguh akibat Covid-19 tahun lalu, dengan sebahagiannya adalah aksi ke luar negara termasuk Indonesia dan Singapura.
Impian mereka adalah untuk beraksi dalam festival muzik antarabangsa berprestij setaraf Coachella. Bagi saya mereka sudah cukup resipi. Mungkin perlu timba pengalaman beberapa tahun sahaja lagi. Tidak lama lagi, saya sendiri akan berbangga kerana pernah menulis dan menemu ramah kugiran yang mengangkat nama Malaysia di mata dunia. – Rondivu, Pancaindera

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya