MENDENGAR kisah turun naik kugiran yang mandiri secara tulen sering kali memuaskan. Kebanyakan mereka bermula daripada kosong, dengan bekalan nyala rasa, perlahan-lahan mendaki tangga menjadi kugiran dikenali ramai.
Begitulah kisah yang saya dengar dari Des Panik!. Mereka kugiran independen tulen. Sejak zaman sekolah, tanpa sebarang pendidikan formal berkaitan muzik, mereka bertatih belajar demi mencapai impian dalam muzik.
Najmie (vokal/gitar) dan Ajeem (gitar) sebagai pendiri awal kugiran itu tidak tahu memetik gitar pun awalnya. Yang memandu mereka hanya minat.
Kemudian mereka merekrut dua lagi ahli, Mairil (dram) dan Syah (bass). Juga sama, kedua-duanya tidak pandai bermain muzik. Mairil belajar mengetuk dram dengan menepuk bantal di rumah. Sesi ‘jamming’ pertama, Mairil pegang kayu dram terbalik.
Itu semua berlaku sekitar 2010 hingga 2012, ketika mereka masih di bangku sekolah. Semangat jiwa muda, biar tak tahu apa, yang penting mereka ada impian menjadi seperti Sum 41 suatu masa nanti.
Ketika menceritakan kisah kugirannya, Najmie boleh menyusun semua kisah mengikut garis masa. Setiap peristiwa disusun mengikut kronologi tahun. Jarang kugiran dapat buat begitu tetapi untuk Des Panik! saya yakin, ia kerana mereka berkembang setiap tahun.
Setiap tahun ditandakan dengan perkembangan dan grafnya sentiasa menaik. Mungkin agak landai tetapi itulah yang istimewa. Saya percaya kugiran yang melalui pendakian muzik secara perlahan akan kekal lama di puncak. Berbanding mereka yang naik cepat, turunnya juga cepat. Ia semacam hukum alam yang tidak boleh dielak.
Bagi keempat-empat mereka, pengalaman menyertai Jelajah Dermaga sebagai kugiran iringan kepada Sekumpulan Orang Gila (SOG) adalah yang paling berharga.
“Semasa di Sabah, kami sendiri tak jangka ada peminat di sana. Terkejut apabila mereka yang datang boleh menyanyi bersama,” kongsi Najmie yang menganggap persembahan mereka di Sabah adalah yang paling diingati.
Bukan itu sahaja, mereka juga pernah membuat persembahan di Singapura dan beberapa lokasi lain di Malaysia untuk mengiringi kugiran antarabangsa seperti Mayday Parade dan The Dangerous Summer.
Selepas melancarkan EP Living The Life pada 2018, Des Panik! tampil dengan beberapa single yang memperlihatkan kematangan serta kedewasaan mereka dari segi lirik dan susunan muzik.
Paling mendapat sambutan ialah Bidadari yang setakat ini telah mencatat lebih 40,000 tontonan di Youtube. Cubaan pertama mereka menghasilkan lagu berentak balada ternyata berhasil.
Melihat beberapa lagu mereka, saya tertarik dengan pesan-pesan motivasi yang dibawa dalam lagu seperti Sementara, Patah Sayap dan Takkan Hilang. Najmie mengakui, memang niat mereka mahu mengangkat semangat pendengar di kala depresi seolah-olah menjadi identiti generasi kini.
“Kami buat lagu untuk diri sendiri dahulu dan jika ia dapat terima pendengar, itu satu penghargaan buat kami.
“Kami pernah didatangi seorang peminat selepas persembahan yang berterima kasih kerana lagu kami, Sementara membantunya menghadapi depresi. Bila orang cakap macam itu, ia sangat berharga,” katanya.
Motivasi juga akan menjadi tema utama album terbaharu mereka yang dijangka akan diterbitkan tahun ini.
Secara eksklusif kepada Rondivu, Des Panik! mendedahkan tajuk album mereka iaitu Revolusi Atau Kontrak yang diambil dari judul salah satu lagu di dalam album tersebut.
Menurut Najmie, album itu akan menampilkan muzik yang sedikit berat dan banyak bermain tentang kehidupan masyarakat zaman kini.
“Kalau perasan, lagu terakhir dalam EP Living The Life ialah Untuk Apa dan bunyinya agak berat. Itu ialah bayangan untuk bunyi yang kami bawa dalam album baharu ini.
“Dalam album ini juga, lagu terakhir akan beri bayangan arah muzik kami untuk rilisan seterusnya,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA