BERGOLAK lagi nama primadona Fauziah Ahmad Daud atau Ogy di pentas seni hiburan tanah air.
Tiada cerita lain, masih menyentuh isu kelewatannya membayar hutang tertunggak dengan produksi pementasan teater komedi Korupsi Dewan Semandung.
Seketika isu ini senyap, sekali lagi ia dibangkitkan dan kali ini Ogy mendapat sindiran pedas daripada penulis skrip teater tersebut, Aloy Paradoks yang menguar-uarkan perkara tersebut di akaun Twitter.
Sebenarnya, pelik juga kerana yang gempita kedengaran hanyalah suara Aloy. Di mana pula suara mereka yang lain jika Ogy masih belum melangsaikan hutang produksi?
Iyalah. Kerja telah sama-sama disudahkan. Bayaran gaji pun kenalah sama-sama diterima mengikut bahagian masing-masing bukan?
Melihat tindakan Aloy seakan masih tidak berpuas hati dengan Ogy, Pancaindera mendapatkan aktres senior ini bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Isu ini kembali panas dan nampaknya pihak Aloy mendakwa dia masih belum menerima baki bayaran daripada Ogy. Boleh jelaskan?
Saya akui masih ada baki bayaran yang perlu dilangsaikan kepada empat lagi individu yang menjayakan teater tersebut. Seorang daripadanya ialah Aloy. Tetapi hutang itu tidaklah bernilai jutaan. Kurang lebih tujuh puluh peratus bayaran telah pun diberikan kepadanya, tinggal sedikit sahaja lagi. Perlahan-lahan sekali pun, saya mesti akan bayar dan hadapi ujian ini.
Mengapa Ogy selama ini tidak membuka mulut sangat mengenai perkara ini?
Memang tak ceritakan pada orang pun mengenai progres bayaran sebab yang penting, niat saya untuk berusaha membayar segala hutang tersebut. Setiap hari saya berdoa supaya urusan dipermudahkan-Nya, agar Allah SWT memberi jalan rezeki untuk saya. Hutang, lambat atau cepat wajib dilangsaikan. Alhamdulillah, dalam diam, saya boleh selesaikan bayaran mereka yang lain.
Maksud Ogy, siapa yang telah menerima duit bayaran lain?
Pelakon-pelakon lain telah pun saya selesaikan bayaran gaji mereka pada tahun lepas, Man Raja Lawak saya selesaikan pada awal bulan lalu. Seramai 34 orang terlibat dalam pementasan teater itu, cuma berbaki empat orang yang belum saya selesaikan. Selebihnya sudah dan butiran terperinci ada pada peguam.
Jadi, hutang yang sudah selesai tidak pula mereka hebah-hebahkan ya? Ada yang ucap terima kasih pada Ogy?
Ada. Mereka menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp secara peribadi. Saya pun turut memohon maaf. Cuma, saya pun tak pandai nak mencanang-canang cerita pada orang. Memang perangai saya begitu sejak dulu, buat apa nak bising-bising? Kalau ada duit, saya memang bayar. Kena ingat, tanggungan saya bukan hanya mereka. Saya pun ada anak yang perlu bersekolah, rumah, bil-bil yang perlu dibayar juga. Tak perlulah nak buka aib sesiapa. Terus-terang, cakap pasal hutang, ada segelintir individu yang sudah 10 tahun berhutang dengan saya sehingga akhirnya dihalalkan kerana saya tahu mereka tidak mampu dan susah. Ada ke selama ini saya kecoh-kecohkan? Percaya sahaja nanti Allah SWT akan ganti yang lebih baik, itu yang saya pegang.
Apa komen Ogy apabila ramai yang meletakkan kesalahan dan keburukan pada diri Ogy semata?
Nak jadi usahawan, jiwa kena kental. Semasa menggerakkan teater itu, saya tidak meletakkan diri sebagai seorang selebriti, tetapi sebagai usahawan. Kejayaan seorang usahawan tidak datang cuma dengan satu projek kerana jatuh bangun itu sudah jadi lumrah.
Agak-agak serik nak buat pementasan teater lagi selepas ini?
Jika projek teater, tak nak buat lagi. Saya pun telah dinasihatkan, kalau nak menyelenggara sebuah pementasan, perlu ada penajaan dahulu. Sebenarnya, pengarah projek yang berjanji ada tajaan, tetapi akhirnya tak dapat. Segala apa yang terjadi, dia seakan lepas tangan dan akhirnya perempuan tua inilah yang perlu ke depan dan hadap. Tetapi apa nak takut? Saya tidak dididik untuk menipu, tak ada niat menipu. Cuma berlaku kelewatan pembayaran. Saya bukannya tidak berusaha mencari duit halal untuk membayar hutang. Tawaran berlakon, menjual produk, semua itu saya buat untuk bayar hutang mereka.Tetapi, perlukah saya nak ceritakan satu persatu apa yang saya buat?Lebih baik saya buat buku kalau begitu.
Apa respons Ogy terhadap kata-kata sindiran Aloy?
Tak ada tindakan apa-apa, tertekan pun tidak. Tugas dan fokus saya adalah berusaha cari rezeki untuk selesaikan hutang.Cuma, saya simpati dengan warganet yang menambah dosa di luar sana. Seronok menulis dalam media sosial walhal tidak tahu cerita sebenar, fakta pun tak betul. Saya tenang sahaja. Tidak membenci sesiapa, tidak berdendam, malah saya maafkan sahaja semua orang. Sebenarnya, selain cemuhan, ramai sahaja yang mendoakan saya dan menghantar komen secara peribadi dalam media sosial. Mungkin mereka tidak mampu membantu dengan wang ringgit, tetapi doa mereka sudah cukup membuatkan saya rasa terharu. – Pancaindera