BANYAK kali juga saya diajak rakan untuk menemu bual mat saleh ini. Bersungguh rakan saya itu meyakinkan bahawa pemilik syarikat Skesh Entertainment itu berbaloi untuk ditemu bual.
Bermula daripada itu, satu persatu cerita saya dengar tentangnya. Dikatakan, dialah yang bertanggungjawab membawa banyak kugiran tempatan ke luar negara. Sekumpulan Orang Gila (SOG) antara contohnya.
Namanya Nadeem A. Salam. Pada usia 28 tahun, apa yang telah dikecapi Nadeem sangat mengagumkan.
Umurnya hanya satu tahun lebih tua daripada saya. Ketika saya hanya boleh berbangga dengan kolum ini, Nadeem memiliki sebuah syarikat pengurusan artis dan jelajah yang menguruskan lebih 150 acara di 70 bandar di seluruh dunia; dan itu hanya pada 2019.
Dia pernah bekerja bersama pelbagai nama besar dunia termasuk Red Hot Chilli Peppers, Whitesnake, Megadeth, Boys Like Girls dan Red Jumpsuit Apparatus.
Tujuh tahun lalu, Nadeem melihat ada potensi dalam muzik Malaysia. Untuk permulaan, syarikatnya bekerjasama dengan antara kugiran independen terbesar Malaysia ketika itu, Bunkface untuk melaksanakan jelajah bersempena album terbaharu mereka.
Nadeem terus berada di Malaysia dan meneroka bakat-bakat baharu dan antara yang ditemuinya ialah SOG.
Hanya dalam masa beberapa bulan bekerjasama, SOG mendapat peluang merakamkan album terbaharu mereka di Paris, Perancis hasil bantuan Skesh dan Nadeem.
The Platform
Covid-19 memberi impak besar kepada penggiat industri seni. Nadeem tidak terkecuali. Beliau memutuskan untuk membawa keluarga tinggal di Malaysia ketika awal pandemik itu menyerang.
“Ia keputusan terbaik yang saya buat,” katanya yang mengagumi cara negara-negara Asia mengawal pandemik.
Sepanjang pandemik, Nadeem tidak boleh duduk diam. Dia akhirnya menjalankan siri konsert dalam talian yang diberi nama The Platform Live.
“Jualan tiket mungkin kurang memberangsangkan tetapi saya anggap ia satu kejayaan. Selepas tamat musim pertama, saya dapat panggilan dari Bangladesh yang menawarkan kontrak dua tahun untuk Skesh menganjurkan The Platform Live di Bangladesh.
“Bukan Bangladesh sahaja, kami juga dapat tawaran dari Sepanyol, Turki dan United Kingdom (UK). Dalam beberapa bulan, The Platform juga akan dilancarkan di enam negara lain yang berbeza,” kongsi Nadeem.
Menurut Nadeem, idea untuk melaksanakan The Platform sudah timbul sejak 2015 tetapi ketika itu, komuniti muzik Malaysia belum bersedia untuknya.
Hasrat Nadeem besar. Dia mahu The Platform Live dijalankan di setiap negara di dunia dengan setiap negara fokus kepada identiti muzik masing-masing. Jika ia berlaku, pastilah kita di Malaysia boleh berbangga kerana francais program itu lahir dan bermula di Malaysia.
Video muzik
Pada 29 November lalu, Fugo melancarkan video muzik untuk single terbaharunya, Julia. Menyusul seminggu kemudian pada 7 Disember, SOG pula melancarkan video muzik Sailors Of Sorrow.
Kedua-dua video muzik ini sangat menarik dan berkualiti. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, ia melepasi tahap produksi beberapa artis arus perdana.
Nadeem bertanggungjawab menerbit dan mengarahkan kedua-dua video muzik itu. Sebelum ini juga dia sudah bekerjasama dengan banyak kugiran untuk menghasilkan video muzik berkualiti termasuk Trophy Knives dan Massacre Conspiracy.
Bukan setakat video muzik, Nadeem turut mendedahkan beberapa rancangan untuk mengangkat tahap karya video kugiran tempatan lebih tinggi, khususnya untuk album baharu SOG. Namun, hal itu terpaksa saya rahsiakan dahulu. Cuma klunya anda boleh dapat dalam video muzik Sailors Of Sorrow.
Apa yang dilakukan Nadeem adalah meningkatkan kualiti kugiran tempatan menggunakan kelebihan rangkaian antarabangsanya. Banyak kugiran, termasuk kugiran baharu seperti Fugo berpeluang menikmati proses mix dan master berkualiti tinggi di luar negara dengan harga berpatutan dengan bantuan Nadeem.
Bukan mudah untuk seorang mat saleh dengan perniagaan antarabangsa datang ke Malaysia dan begitu fokus untuk membangunkan bakat-bakat di Malaysia. Apa yang dilakukan Nadeem adalah menanam budi di Malaysia dan berkongsi hasilnya bersama bakat-bakat seni di negara ini.
Mengambil kedudukan sebagai peminat muzik Malaysia, saya mengakhiri pertemuan kami dengan ucapan terima kasih atas semua usahanya. – Rondivu, Pancaindera