Mingguan Malaysia sebelum ini pernah mendedahkan secara eksklusif kisah anggota kumpulan Fotograf, Sham Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Ringgo yang pernah ditahan di penjara El-Rodeo II, Venezuela setelah dianiaya individu yang meletakkan dadah di dalam bagasinya ketika ingin ke Sepanyol.
Kisah Ringgo ditangkap mengejutkan banyak pihak terutamanya peminat seni tanah air kerana sebelum ini beliau hanya dikenali sebagai seorang pemuzik dan pelukis. Mingguan Malaysia sekali lagi menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan terkini dan komen setelah kisahnya tersiar dan diketahui umum.
Perkembangan terbaharu Ringgo?
Buat masa ini saya agak sibuk menyiapkan lukisan-lukisan koleksi peribadi, dan pada masa sama juga saya banyak menerima pelawaan daripada rakan-rakan seni untuk adakan pameran lukisan. Namun saya tidak dapat penuhi pelawaan tersebut kerana banyak komitmen lain yang perlu diselesaikan.
Tawaran lain diterima?
Ada juga yang tawarkan saya pelbagai bisnes terutamanya skim pelaburan dan saham. Tapi faham-faham sajalah bila offer yang pelik-pelik dalam media sosial ini. Bila saya periksa semula kebanyakannya ala skim cepat kaya. Kena hati-hati, maklumlah sekarang ini banyak sangat scammer. Semua nak fast money sahaja.
Bagaimana tahu itu scammer?
Sebab itu, saya kata kita kena selalu upgradekan pengetahuan. Scammer ini kebiasaannya dia lagi maju setapak ke depan daripada kita. Kena sentiasa tingkatkan keraguan melalui tawaran-tawaran macam ini. Kena sentiasa hati-hati dan jangan mudah terpedaya walaupun dia pakai kopiah atau serban sekalipun.
Macam pernah kena saja?
(ketawa) Memang pun… dalam setahun dua ini ada jugalah kesilapan saya termakan dengan tawaran-tawaran macam itu, tetapi nasib baiklah saya labur sikit saja.
Dengar cerita ada yang tawarkan hendak buat drama dan filem berkenaan kisah hidup sebelum ini, betulkah?
Memang ada. Cuma belum ada sebarang persetujuan dan kata putus lagi.
Sebelum ini kata mahu keluarkan buku tentang pengalaman kisah hidup, bila tu?
Sedang dalam proses untuk menyiapkannya. Insya-Allah kalau siap nanti saya akan beritahu juga.
Bagaimana reaksi orang sekeliling selepas pendedahan kisah tempoh hari?
Ramai juga terkejut dan tidak tahu saya sudah berada di Malaysia. Kalau kawan-kawan rapat pula ramai yang ingin jumpa dan mahu tahu cerita sebenar dari mulut saya sendiri.
Reaksi mereka?
Pada yang tidak tahu apa terjadi kepada saya sebelum ini mestilah mereka terkejut, tapi alhamdullillah. Rakan-rakan, kenalan, ahli keluarga dan peminat sentiasa memberikan sokongan dan semangat. Kepada yang mengenali rasanya mereka lebih tahu siapa saya sebelum ini.
Tak rindu untuk tubuhkan kumpulan seperti dahulu?
Sebenarnya saya masih aktif bermain muzik, Cuma tidaklah serius macam muda-muda dahulu. Ada juga rakan-rakan yang ajak tubuh band tapi saya tolak. Dah umur-umur macam ini rasa letih sangat. Ibarat seperti sebuah kereta yang pernah kemalangan, semua alignment, chasis dah lari bro… (ketawa)
Maknanya tidak mungkin ada Fotograf 2.0?
Bila arwah Shamrin dah tiada, saya dan anggota Fotograf lain tidak akan mencari penyanyi lain untuk menggantikan tempat arwah. Lagipun saya sudah tak minat untuk buat semula kerja-kerja promosi seperti dahulu. Zaman itu dah berlalu. Bagaimanapun saya masih main muzik walaupun tidak serius macam dulu. Tambah pula masa Covid-19 ini, show pun agak terbatas. – Pancaindera